Rumah berharga RM500,000 bukan mampu milik, kata persatuan pembeli

HBA berkata, amalan antarabangsa menetapkan sesuatu hartanah hanya akan dimasukkan ke dalam kategori ‘mampu milik’ sekiranya ia ditawarkan pada harga di bawah 3 kali ganda pendapatan tahunan isi rumah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) mendakwa kumpulan pemaju perumahan sengaja membohongi orang ramai supaya mempercayai ahlinya telah membina rumah yang mencukupi pada harga yang boleh dibeli oleh rakyat biasa.

Bercakap kepada FMT, setiausaha agung HBA, Chang Kim Loong berkata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) secara salah mengandaikan bahawa rakyat biasa mampu membeli rumah berharga setinggi RM500,000.

Chang merujuk kenyataan presiden Rehda, Soam Heng Choon Khamis lepas yang menyebut pemaju melancarkan lebih banyak rumah mampu milik tahun ini berbanding tahun lepas, dan menambah sebahagian besar rumah tersebut yang dijual pada harga di bawah RM500,000 tidak terjual.

“Kita boleh menjangka sebahagian besar hartanah Rehda yang tidak terjual itu berharga hampir RM500,000,” kata Chang.

HBA menakrifkan rumah mampu milik sebagai unit berharga antara RM150,000 ke RM300,000, dan mempunyai sekurang-kurangnya 2 bilik tidur dan keluasan minimum 800 kaki persegi, tidak termasuk balkoni.

Chang juga berkata, rumah mampu milik mesti mempunyai akses kepada pengangkutan awam dan kemudahan seperti sekolah, hospital dan pasar raya.

Beliau mendakwa amalan antarabangsa menetapkan sesuatu hartanah hanya akan dimasukkan ke dalam kategori “mampu milik” sekiranya ia ditawarkan pada harga di bawah 3 kali ganda pendapatan tahunan isi rumah.

Menurut Jabatan Perangkaan, pendapatan median bulanan isi rumah pada 2016 ialah sebanyak RM9,033 di Kuala Lumpur dan RM5,228 di luar bandar raya tersebut.

“Dengan menggandakan pendapatan tersebut 3 kali, maka RM325,188 adalah harga maksimum hartanah mmpu milik di Kuala Lumpur dan RM188,208 di tempat lain di seluruh Malaysia,” kata Chang.

Beliau mencabar Rehda supaya mendedahkan jumlah rumah yang dibina ahlinya, termasuk unit studio, yang dijual pada harga antara RM150,000 ke RM300,000.

“Pemaju mesti membina produk yang sesuai di tempat yang betul dengan harga serta jumlah yang tepat bagi memungkinkan ia diterima baik oleh orang ramai” tambahnya.