SPR: 58.3% keluar undi di PRK Port Dickson

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya kecil Port Dickson ialah 58.3% sehingga 5.30 petang tadi.

Bernama melaporkan peratusan mengundi itu bagaimanapun lebih rendah daripada sasaran SPR sebanyak 70%.

Kerusi Parlimen Port Dickson mempunyai 77,750 pengundi yang terdiri daripada 43% pengundi Melayu, 33% kaum Cina, 22% India dan kaum lain sebanyak 2%.

Semua 32 pusat mengundi bagi PRK Port Dickson dibuka sejak 8 pagi dan ditutup tepat 5.30 petang tadi.

Semua peti undi daripada 154 saluran kemudiannya dibawa ke pusat penjumlahan undi di dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) untuk pengiraan undi dan keputusan dijangka diumumkan 10 malam ini.

PRK itu menyaksikan pertandingan 7 penjuru antara calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Nazari Mokhtar daripada PAS dan 5 calon bebas, iaitu bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, personaliti media sosial, Stevie Chan Kee Leong, pakar perunding pengurusan, Kan Chee Yuen dan bekas pensyarah universiti swasta, Lau Seck Yan.

Isa ialah satu-satunya calon yang layak mengundi dan beliau berbuat demikian di Sekolah Kebangsaan Linggi, pagi tadi.

PRK itu diadakan selepas penyandang, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan pada 12 September lalu untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke Dewan Rakyat.