SPR terima laporan penyokong 2 parti berkempen di Port Dickson

Azhar berkata, terpulang kepada pihak lain jika mahu buat laporan polis berhubung insiden berkempen pada hari pengundian itu.

PORT DICKSON: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menerima laporan berhubung penyokong 2 parti politik di pusat daerah mengundi (PDM) Sekolah Kebangsaan Teluk Kemang, masih berkempen di pintu masuk PDM.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata pihaknya telah mengarahkan pegawai penguat kuasa pilihan raya untuk mengambil tindakan.

“Saya terima aduan ada penyokong 2 parti politik memaparkan bendera dan lambang parti politik betul-betul di pintu masuk PDM berkenaan.

“Saya ingin sekali lagi menegaskan, berkempen semasa hari mengundi dilarang sama sekali kerana ia bertentangan dengan peraturan dan undang-undang, tindakan tegas boleh dikuatkuasakan.

“Saya juga ingin memberi arahan tegas… hentikan perbuatan itu serta-merta dan jangan melanggar peraturan SPR daripada kedua-dua parti politik yang terlibat… saya tidak kisah mereka itu siapa,” katanya selepas mengadakan lawatan di PDM Sekolah Kebangsaan (SK) Port Dickson di sini, hari ini..

Mengulas lanjut, Azhar berkata apa yang boleh dilakukan pihaknya iaitu mengarahkan mereka berhenti daripada berbuat demikian atau mengekalkan jarak 50 meter dari PDM.

“Terpulang pada pihak lain kalau mereka mahu buat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, di PDM SK Port Dickson, 2 calon yang bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson iaitu calon Pakatan Harapan yang juga ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon bebas Mohd Saiful Bukhari Azlan turut kelihatan meninjau proses mengundi di PDM ini.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas untuk membolehkan Anwar, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Dalam pilihan raya umum 9 Mei, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk VS Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.