SPR tidak pasti peratus mengundi capai sasaran 70% di Port Dickson

Peratus keluar mengundi setakat tengah hari ialah 34%.

PORT DICKSON: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak pasti sama ada peratus keluar mengundi dalam pilihan raya kecil hari ini akan mencapai sasaran awal badan itu sebanyak 70%.

Ditemui di pusat mengundi di SK Chuah, Pengerusi SPR Azhar Azizah Harun berkata, SPR mengambil beberapa langkah proaktif bagi menggalakkan lebih ramai pengundi keluar mengundi, termasuk pengumuman melalui media sosial.

“Kita tidak mempunyai data mencukupi untuk mengukur sentimen pengundi, jadi saya kurang pasti (jika kita boleh mencapai sasaran 70%).” katanya.

Azhar berkata, sebelum hari pengundian, SPR mengeluarkan iklan mengenai pilihan raya kecil itu, termasuk melalui penyiaran pengumuman di televisyen nasional.

“Setakat 12 tengah hari, angkanya ialah 34%. Cuaca baik, hujan belum turun, jadi kita berharap cuaca baik akan berterusan dan lebih ramai pengundi keluar selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di pusat mengundi berkenaan.

Ketika diminta memberi komen berhubung insiden penyokong parti berkempen “terlalu hampir” dengan pusat mengundi, Azhar berkata, beliau secara peribadi memberitahu beberapa penyokong parti bertanding supaya berundur 50 meter dari pusat mengundi.

“Saya harap kegiatan itu dihentikan kerana tidak jelas sama ada perbuatan membawa lambang atau bendera parti dianggap berkempen atau tidak.

“Bagaimanapun ia memang bahan kempen. Bagi saya, ia patut dihentikan sepenuhnya,” katanya.

Beliau juga meminta parti bertanding tidak membawa lambang atau bendera masing-masing ke hadapan pusat mengundi bagi mengelakkan tuduhan mereka melanggar undang-undang.

Azhar juga mengesahkan terdapatnya aduan insiden sama berlaku di 2 atau 3 pusat mengundi lain dan pegawai penguat kuasa telah mengambil tindakan.

Pengundi di Port Dickson hari ini akan menentukan siapakah wakil rakyat baru mereka, sama ada seorang bakal perdana menteri atau sebaliknya apabila mereka mengundi di 5 bahagian pilihan raya negeri di sini, iaitu Chuah, Lukut, Bagan Pinang, Linggi dan Sri Tanjung.

PRK ini diadakan berikutan peletakan jawatan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah bagi membuka jalan kepada ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan menjadi ahli Dewan Rakyat.