Zaid: Kemenangan besar Anwar bantu PH tangani isu Melayu-Islam

Zaid Ibrahim berkata, Anwar patut dilantik sebagai timbalan perdana menteri bagi menggantikan isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

PETALING JAYA: Bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim mengalu-alukan Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali aktif berpolitik dan ia petanda pengaruh PAS di kalangan pengundi Melayu semakin merosot.

Katanya, penemuan awal daripada majoriti besar diraih Anwar dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson menunjukkan pengundi kawasan majoriti Melayu menyokong presiden PKR itu dan ia akan meningkatkan keyakinan Pakatan Harapan (PH) dalam menangani isu Melayu-Islam.

“PAS tidak mencapai kemajuan dan ini akan membolehkan PH mara ke negeri-negeri Melayu.

“Mereka akan lebih yakin dalam menangani isu Melayu-Islam,” katanya kepada FMT.

Calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar hanya mendapat 7,456 undi berbanding 31,016 undi diperolehi Anwar.

Zaid berkata, kemenangan Anwar patut disusuli dengan pelantikannya sebagai timbalan perdana menteri bagi menggantikan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.