Azmin: Pemilihan PKR masih berjalan dan saya hormati proses

Azmin berkata, kemenangan Anwar di Port Dickson adalah unik dan menunjukkan trend sokongan serta keyakinan baru kepada PH.

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Azmin Ali berkata proses pemilihan parti masih berjalan dengan cukup baik apabila ditanya tentang perkembangan pemilihan parti itu.

“Ia masih berjalan dan saya menghormati proses yang cukup baik ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis jamuan tengah hari di Yayasan Eco World di sini hari ini.

Fasa pertama proses pemilihan PKR peringkat Selangor yang mempunyai keanggotaan paling ramai disahkan layak mengundi sebanyak 249,850 orang, berlangsung hari ini di 9 daripada 22 cabang di negeri itu.

Sembilan cabang berkenaan ialah Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Serdang, Kelana Jaya, Subang, Kapar, Kota Raja dan Sepang yang mempunyai lebih 108,000 anggota layak mengundi.

Selain mempunyai keanggotaan paling ramai, Selangor turut menjadi tumpuan pada pemilihan kali ini dari segi perebutan jawatan timbalan presiden memandangkan negeri ini dikatakan kubu kuat penyandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga pengerusi PKR negeri dan bekas menteri besar Selangor.

Terdahulu media melaporkan, keputusan pengundian di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan memihak kepada Rafizi sementara Mohamed Azmin berjaya menguasai Pulau Pinang dan Johor.

Sementara itu, Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi menyampaikan penghargaannya kepada penyokong pada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson yang membawa kepada kemenangan calon Pakatan Harapan dan juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kemenangan ini adalah kemenangan unik kerana kita mendapat sokongan yang padu daripada semua kaum yang ada di PD,” kata beliau.

“Ia menunjukkan satu trend sokongan yang baru dan keyakinan rakyat kepada PH,” tambahnya.