Hakimah wanita pertama dilantik timbalan ketua pengarah Jakim

Hakimah Mohd Yusoff menggantikan Mohamad Nordin Ibrahim yang dilantik sebagai ketua pengarah Jakim mulai 17 Mei lalu. (Gambar islam.gov.my)

KUALA LUMPUR: Pengarah Bahagian Kemajuan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Hakimah Mohd Yusoff dilantik sebagai timbalan ketua pengarah (Dasar) baru, berkuat kuasa esok.

Unit Komunikasi Korporat Jakim dalam kenyataannya berkata, pelantikan Hakimah itu bagi menggantikan Datuk Mohamad Nordin Ibrahim yang dilantik sebagai ketua pengarah Jakim mulai 17 Mei lalu.

“Beliau (Hakimah) adalah pegawai hal ehwal Islam wanita pertama yang dilantik memegang jawatan tersebut,” kata kenyataan itu.

Hakimah memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang syariah di Universiti Malaya pada 1990 dan Ijazah Sarjana dalam bidang pembangunan sumber manusia dari Universiti Putra Malaysia pada 2001.

Hakimah memulakan perkhidmatan sebagai penjawat awam pada 1992 sebagai penolong pengarah di Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai ketua penolong pengarah di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) pada 2008 hingga 2009 sebelum dilantik sebagai pengarah Bahagian Hab Halal Jakim selama 5 tahun, dari 2011 hingga 2016.

“Kecemerlangan beliau (Hakimah) amat terserlah semasa menerajui Bahagian Hab Halal sehingga pensijilan Halal Malaysia diterima di peringkat dunia.

“Pada 2016, beliau dinaikkan pangkat ke gred lebih tinggi sebagai pengarah Bahagian Kemajuan Islam dan atas sumbangan dan pencapaian cemerlang beliau dalam perkhidmatan, maka kerajaan telah memperakukan pelantikan beliau sebagai timbalan ketua pengarah (Dasar) Jakim yang baru.”