Jenazah bekas CEO Cradle Fund dikebumi semula esok

KUALA LUMPUR: Jenazah bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan akan dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara, dekat sini, esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu dan memaklumkan pengebumian semula akan dilakukan pada 11 pagi.

Pada 8 Oktober lalu, jenazah Nazrin dibawa keluar dari tanah perkuburan itu untuk bedah siasat kali ke-2 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Oktober lalu membenarkan permohonan polis untuk menggali semula kubur Nazrin bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan bagi membantu siasatan polis berhubung kes bunuh mangsa.

Pada 3 Ogos lalu, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, selepas siasatan bomba menemui kesan petrol di lokasi kebakaran.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, pada 14 Jun lalu yang pada mulanya dilaporkan berpunca daripada letupan telefon bimbitnya.