‘Jika mansuh, hukuman mati akan diganti penjara minimum 30 tahun’

PETALING JAYA: Hukuman penjara minimum 30 tahun akan menggantikan hukuman mati, jika pemansuhannya diluluskan Parlimen, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Katanya, terdapat 18 kesalahan jenayah yang memperuntukkan hukuman mati, termasuk mengedar dadah, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, keganasan, membunuh, membunuh mangsa ketika penculikan, memiliki dan menggunakan senjata api, merogol sehingga menyebabkan kematian dan merogol kanak-kanak.

Beliau dipetik akhbar New Straits Times berkata, terdapat 1,267 banduan yang berdepan hukuman mati di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 sehingga kini, tetapi hukuman itu tidak dilaksanakan sejak 2014.

“Rang undang-undang (RUU) memansuhkan hukuman mati akan dibentangkan di Parlimen selepas memorandum mengenai perkara itu diluluskan Kabinet,” katanya ketika berucap dalam sebuah program anti-dadah di Sandakan hari ini. Teks ucapannya dibacakan setiausaha politiknya, Martin Tommy.

Pada 10 Oktober lalu, Liew mengumumkan RUU pemansuhan hukuman mati dijangka dibentangkan di sidang Dewan Rakyat akan datang.

Liew menggesa Lembaga Pengampunan mempertimbangkan untuk menggantung hukuman mati ke atas banduan terbabit.

“Berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Lembaga Pengampunan mempunyai kuasa untuk memberi pengampunan, menangguhkan pelaksanaan hukuman mati tanpa melanggar peruntukan dalam undang-undang persekutuan.

“Lembaga Pengampunan juga boleh mempertimbang membebaskan banduan yang menunggu lebih 20 tahun (untuk pelaksanaan hukuman mati) bergantung pada keadaan.”