Laporan: Guan Eng batal projek tingkap kalis peluru RM7 juta

Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Lim Guan Eng membatalkan projek menggantikan tingkap kalis peluru di kementeriannya yang bernilai RM7 juta.

Menteri kewangan itu berkata, projek pemasangan tingkap kalis peluru di 3 tingkat teratas Kementerian Kewangan itu diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Ada cara lebih mudah untuk bunuh saya berbanding menggunakan penembak hendap.

“Tingkap kalis peluru bernilai RM7 juta, ini cara mereka membazirkan wang,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut laporan portal berita itu, tingkat 10 Kementerian Kewangan menempatkan pejabat timbalan ketua setiausaha perbendaharaan, tingkat 11 ialah pejabat menteri kewangan dan timbalannya, manakala tingkat 12 ialah bilik mesyuarat.

Menteri kewangan di bawah pentadbiran BN ialah Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, manakala timbalan ialah Datuk Othman Aziz serta Datuk Lee Chee Leong.