Laporan: Hutang 1MDB dengan IPIC mungkin 2 kali ganda jumlah asal

Kerajaan PH ‘tidak mampu ingkar’ pinjaman antarabangsa kerana ia akan memberi kesan buruk ke atas pasaran kewangan tempatan.

PETALING JAYA: Maklumat baru muncul menunjukkan hutang ditanggung dana pelaburan kerajaan yang dilanda skandal, 1MDB, dengan International Petroleum Investment Co (IPIC) berkemungkinan berjumlah “2 kali ganda” lebih besar daripada jumlah asal yang dipercayai terhutang dengan syarikat milik kerajaan Abu Dhabi itu.

Menurut akhbar Straits Times (ST), maklumat itu muncul selepas IPIC awal bulan ini memaklumkan rancangan untuk memindahkan liabiliti dan komitmen kewangan spesifik yang berkait dengan bon bernilai berpuluh bilion yang dikeluarkan oleh 1MDB kepada entiti induknya, Mubadala Development Co PJSC.

Komitmen yang disenaraikan dalam kenyataan IPIC kepada Bursa Saham London berjumlah kira-kira AS$6.89 bilion (RM28.6 bilion) sebelum caj faedah, yang menurut laporan ST “melebihi 2 kali ganda jumlah yang dipercayai Kuala Lumpur ia berhutang dengan Abu Dhabi.”

Akbar harian Singapura itu berkata, bon yang tersenarai dalam kenyataan IPIC tersebut tidak ada kaitan yang dikatakan dikeluarkan oleh Putrajaya pada 2012.

Memetik seorang pegawai kanan kerajaan Malaysia yang enggan dikenali, ST melaporkan bahawa Pejabat Peguam Negara dan Kementerian Kewangan sedia maklum tentang maklumat baru yang terkandung dalam kenyataan IPIC itu.

Pegawai berkenaan berkata, kerajaan telah mendapatkan khidmat peguam di Britain bagi mencadangkan langkah bagi menghadapi isu itu.

“Mungkin kami akan membuat bayaran faedah dalam keadaan tidak menyetujuinya. Kami akan mencabar perjanjian penyelesaian Abu Dhabi itu,” katanya kepada ST.

Beliau juga berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) “tidak mampu ingkar” pinjaman antarabangsa kerana ia akan memberi kesan buruk ke atas pasaran kewangan tempatan.

Awal minggu ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kerajaan akan membayar sebanyak AS$50.3 juta (RM206.23 juta) hutang 1MDB yang kena dibayar pada hujung bulan ini.

ST juga melaporkan IPIC menyebut dalam kenyataannya bertarikh 1 Okt itu bahawa obligasi kewangan dalam urus niaganya dengan 1MDB melibatkan “6 terbitan bon berlainan dalam dolar AS, euro dan pound sterling.”

“Selain itu, nota berkenaan, yang secara bersesama berjumlah kira-kira AS$6.89 bilion, mempunyai tarikh matang berbeza, termasuk satu yang matang pada 2041, dan caj tahunan yang berlainan,” lapor ST.