Menteri beri jaminan Lebuhraya Pan Borneo bebas tol

Baru Bian berkata, kerajaan PH tiada niat mengenakan kutipan tol bagi Lebuhraya Pan Borneo. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak akan kekal sebagai lebuh raya tanpa tol, kata Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Beliau berkata, sebaik mengambil alih pentadbiran kerajaan persekutuan, Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai sebarang niat mengenakan kutipan tol bagi Lebuhraya Pan Borneo.

“Saya ingin memberi jaminan Lebuhraya Pan Borneo tidak akan dikenakan tol. Ini janji kami (kerajaan Persekutuan),” katanya dalam sidang media berhubung kemajuan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengenai pembinaan lebuh raya tanpa tol tidak dapat dilaksanakan.

Katanya, kenyataan perdana menteri itu merujuk lebuh raya di Semenanjung, dan menurutnya, model pembangunan serta pembinaan Lebuhraya Pan Borneo berbeza dengan lebuh raya di Semenanjung.

Beliau berkata, kerajaan persekutuan komited meneruskan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak, sekali gus memastikan lebuh raya itu dapat disiapkan mengikut masa dijanjikan demi keselesaan rakyat di negeri berkenaan.

Di Sabah, Baru berkata, sebanyak 12 daripada 35 pakej dalam fasa pertama lebuh raya itu dimulakan dan baki pakej akan dibina secara berperingkat mengikut kedudukan kewangan negara.

Justeru, katanya, kementeriannya akan berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi menilai semula kos keseluruhan pembinaan lebuh raya itu, namun perbincangan itu tidak melibatkan perubahan jajaran Pan Borneo.

“Proses pengambilan tanah antara punca berlaku kelewatan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan kementerian akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi mengatasi masalah itu.”