Najib: Bank Dunia tak tertipu propaganda hutang RM1 trilion

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak sekali lagi membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengenai isu hutang negara, dengan mempersoalkan kenapa Putrajaya menggunakan angka tepat RM1 trilion.

Bekas perdana menteri itu berkata, istilah “trilion” sangat sensasi dan mampu menakutkan orang ramai.

“Senang untuk diputarbelit atau ‘spin’. Untuk naikkan jumlah hutang negara menjadi RM1 trilion berbanding hutang rasmi RM688 bilion, kerajaan PH turut masukkan jaminan hutang sebanyak RM199 bilion ke dalamnya.

“Tetapi, hutang bon untuk membiayai PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) yang kini RM40 bilion tidak pula dimasukkan ke dalam angka RM199 bilion ini.

“Ini ialah sebab angka propaganda RM1 trilion sudah tercapai dan tidak perlu lagi memasukkan jaminan hutang PTPTN dan lain-lain lagi ke dalamnya,” tulisnya dalam Facebook hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, hutang 1MDB turut dimasukkan dalam jaminan hutang RM199 bilion, sedangkan hutang 1MDB tidak sebanyak itu dan syarikat berkenaan mempunyai banyak aset, termasuk Bandar Malaysia, Tun Razak Exchange (TRX) dan tanah di Pulau Pinang yang nilanya berpuluh bilion.

“Apa sudah terjadi dengan aset-aset ini? Nilai semua aset ini sudah menjadi kosong?” soalnya.

Beliau berkata, laporan terkini Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan hutang negara setakat akhir Jun lalu ialah RM725 bilion berbanding RM688 bilion pada akhir 2017.

“Takkan BNM mahu menipu? Dan tidak ada pula pengubahan terhadap jumlah RM688 bilion itu.”

Katanya, ketua ekonomi Bank Dunia minggu lalu menyatakan hutang Malaysia tidak begitu tinggi dan mampu ditangani.

Najib berkata, kerajaan PH tahu mengenainya, tetapi mereka terus menggunakan propaganda hutang RM1 trilion untuk memburukkan kerajaan Barisan Nasional, selain menjadi penjualan aset negara, memperkenalkan cukai baru dan menarik balik bantuan bagi rakyat sebagai alasan.

“Pakar Bank Dunia bukan senang ditipu oleh propaganda.”

Katanya, ketika beliau menjadi perdana menteri, defisit bajet kerajaan terkawal dan menurun 8 tahun berturut-turut, selepas negara terjejas teruk akibat krisis ekonomi global dari 2007 hingga 2012.