Pastikan Lebuhraya Pan Borneo bebas tol, gesa PBS

Kerajaan persekutuan lepas memutuskan Lebuh Raya Pan Borneo akan bebas-tol kerana ia dibina dengan peranan penting menghubungkan keseluruhan Borneo bagi merancakkan pertumbuhan pulau tersebut.

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menempelak kerajaan persekutuan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad selepas perdana menteri itu berkata manifesto Pakatan Harapan (PH) merupakan satu “beban”, kali ini berkaitan lebuh raya tanpa tol.

Setiausaha agung PBS Datuk Johnny Mositun berkata pengakuan Dr Mahathir bahawa PH membuat janji dalam manifesto tersebut kerana berfikir ia tidak akan menang pilihan raya dan hanya bertujuan menekan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada waktu itu bermakna pakatan tersebut tidak beretika.

“Parti yang baik, sebelum mengisytiharkan manifestonya kepada rakyat, akan menjalankan kajian terperinci bagi memastikan janji yang dibuat boleh dipenuhi.

“Orang politik tidak sepatutnya membuat janji besar hanya kerana mereka mahu menang, dan selepas menang menganggap manifesto yang dibuat “satu beban besar”, katanya kepada FMT hari ini.

Mositun berkata, sebagai ahli politik veteran, Dr Mahathir tahu rakyat akan mengundi berdasarkan janji yang dibuat oleh parti yang bertanding, termasuk PH dan Warisan.

Malangnya kata beliau, ramai yang terpedaya sehingga percaya bahawa “janji yang dibuat itu akan dipenuhi, tetapi sebaliknya selepas lebih 5 bulan, kerajaan PH membuat satu pusingan U demi pusingan U berkaitan janji mereka.

“Saya sangat bimbang berikutan kenyataan terbaru Dr Mahathir mengenai kemustahilan membina lebuh raya tanpa tol.

“Kita semua tahu, kerajaan persekutuan lepas memutuskan Lebuhraya Pan Borneo akan bebas-tol kerana ia dibina dengan peranan penting menghubungkan keseluruhan Borneo bagi merancakkan pertumbuhan pulau ini.

“Oleh sebab itu saya sangat berharap pusingan U tebaru itu tidak termasuk jaringan jalan raya penting ini demi kepentingan rakyat di sini.”

Jumaat lepas, Dr Mahathir berkata, jalan raya tanpa tol tidak mungkin diwujudkan dan memberi amaran bahawa satu-satunya cara ia boleh dibuat ialah dengan menaikkan harga minyak.

Dr Mahathir juga mendedahkan bahawa beliau sebenarnya tidak bersetuju dengan janji lebuh raya tanpa tol yang terkandung dalam manifesto PH.

““Kami mewujudkan manifesto itu dengan memikirkan bahawa kami tidak akan menjadi kerajaan. Sekarang kami adalah kerajaan dan manifesto ini merupakan beban yang besar,” katanya kepada media pada penghujung Perhimpunan Pemimpin Asean di Bali, Indonesia.