Pemilihan DAP Perak: Aziz Bari dapat undi terbanyak

Aziz Bari bergambar dengan Nga Kor Ming di Konvensyen DAP Perak hari ini. (Gambar Bernama)

TAIPING: Dr Abdul Aziz Bari melakar sejarah sebagai satu-satunya calon Melayu memperoleh undi terbanyak dalam pemilihan Jawatankuasa DAP Perak dan dipilih sebagai naib pengerusi DAP negeri yang baru.

Dalam pemilihan oleh 1,303 perwakilan di Hotel Taiping Perdana, hari ini, Adun Tebing Tinggi itu mengatasi 23 calon lain dengan 890 undi.

Aziz yang juga pakar perlembagaan dan pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, dipilih ke jawatan itu bersama Adun Sungkai, A Sivanesan yang juga pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri.

Jawatan pengerusi DAP Perak kekal milik Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming buat penggal ke-2, manakala timbalan pengerusi disandang Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar.

Sepupu Nga yang juga Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham kekal sebagai penasihat DAP negeri, manakala Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh dipilih sebagai setiausaha.

Nga yang memperoleh 701 undi berada dalam kedudukan ke-7 daripada senarai 15 ahli jawatankuasa yang dipilih, manakala Ngeh pula berada di kedudukan ke-10 dengan 667 undi.

Sementara itu, Aziz berkata, beliau menerima tugas baru itu sebagai tanggungjawab berat dan cabaran dengan perasaan rendah hati.

“Saya sama sekali tidak menjangkakan akan memperolehi jumlah undi terbanyak dan ketika di Selangor dahulu pada 2015, saya merupakan ahli jawatankuasa yang dilantik,” katanya yang sebelum ini merupakan ahli cawangan DAP Pandan sebelum berpindah ke cawangan Ipoh Garden.

Dalam pada itu, Nga berkata, kejayaan diraih Aziz itu bukti pemilihan parti tidak didorong sifat perkauman, sebaliknya atas kewibawaan calon.

“Kita berharap dengan pemilihan sebagai naib pengerusi, dia mampu menarik lebih ramai sokongan masyarakat Melayu dalam DAP.”

Jawatankuasa DAP Perak 2018-2019

Penasihat: Ngeh Koo Ham (Ahli Parlimen Beruas)

Pengerusi: Nga Kor Ming (Ahli Parlimen Teluk Intan)

Timbalan Pengerusi: V Sivakumar (Ahli Parlimen Batu Gajah)

Naib Pengerusi: Abdul Aziz Bari (Adun Tebing Tinggi) dan A Sivanesan (Adun Sungkai)

Setiausaha: Wong Kah Woh (Ahli Parlimen Ipoh Timor)

Penolong Setiausaha: Ong Boon Piow (Adun Bercham)

Bendahari: Yong Choo Kiong (Adun Tronoh)

Penolong Bendahari: Leong Cheok Keng (Adun Malim Nawar)

Setiausaha Organisasi: Teh Kok Lim (Ahli Parlimen Taiping)

Penolong Setiausaha Organisasi: A Sivasubramaniam (Adun Buntong) dan Leow Thye Yih (Adun Pokok Assam)

Setiausaha Publisiti: Chong Zhemin (Adun Keranji)

Pengarah Pendidikan Biro Politik: Loh Sze Yee (Adun Jalong)

Ahli Jawatankuasa: Senator Nga Hock Cheh, Cheah Poh Yin (Adun Jelapang), Jenny Choi Tsi Jen (Adun Canning), Howard Lee Chuan How (Adun Pasir Pinji) dan Terence Naidu (Adun Pasir Bedamar)