Peraturan pilihan raya kurang jelas, perlu kemas kini, kata Azhar Harun

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata undang-undang sedia ada kurang jelas dan boleh dipersoalkan dengan interpretasi yang berbeza. (Gambar Bernama)

PORT DICKSON: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memperketat dan memperkemaskan peraturan berkempen semasa pilihan raya berikutan terdapat kelonggaran yang boleh dipertikaikan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata undang-undang sedia ada adalah kurang jelas dan boleh dipersoalkan dengan interpretasi yang berbeza.

Menurutnya, beliau akan memulakan agenda reformasi undang-undang tersebut secepat mungkin dengan mengadakan satu perbincangan pada Isnin depan.

“Pihak SPR tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan, oleh itu menurut saya kita perlu kemas kini undang-undang supaya peraturan sedia ada lebih jelas.

“Calon-calon yang terlibat dalam pilihan raya pun akan tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh, sekarang ini agak longgar dan bergantung terbuka pada interpretasi,” katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson di sini, malam tadi.

Keputusan PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim menang selepas memperoleh majoriti besar sebanyak 23,560 undi sekali gus menewaskan 6 pencabarnya.

Sementara itu, Azhar berkata 5 calon Bebas yang bertanding hilang wang pertaruhan mereka.

Katanya 5 calon Bebas itu ialah bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad; bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan; personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leng; calon wanita tunggal yang juga bekas pensyarah universiti swasta Lau Seck Yan; serta pakar perunding pengurusan Kan Chee Yuen.

“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua calon terutama calon Bebas 5 orang ini yang membuktikan amalan demokrasi kita matang dan ‘robust’ (rancak).

“Pertandingan pilihan raya seperti ini boleh diteruskan pada masa akan datang demi amalan demokrasi yang lebih baik dan subur,” katanya.