3 warga Myanmar maut tertimbus di Cameron Highlands

Runtuhan tanah berlaku pada bahagian atas tebing jalan menyebabkan pondok mangsa tertimbus. (Gambar Facebook)

IPOH: Tiga warga Myanmar maut dalam insiden tanah runtuh di Batu 49 Kampung 3, Terla, Cameron Highlands, hari ini.

Dalam kejadian itu, 2 daripada mangsa adalah wanita dikenali sebagai Naing Vai, 23, dan Mu Aye Aye, 34, serta seorang lelaki dikenali sebagai Aung Thong, 23.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Mohd Sani Harul berkata runtuhan tanah berlaku pada bahagian atas tebing jalan menyebabkan pondok mangsa tertimbus.

“Pondok mangsa tidak dapat dilihat akibat daripada timbusan tanah itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Ashari Abu Samah berkata, Thong dan Vai ialah pasangan suami isteri, manakala Aye Aye adalah rakan mereka.

Katanya, kejadian itu sebenarnya berlaku kira-kira 3 pagi, dipercayai akibat hujan lebat sejak tengah malam tadi.

Ashari berkata, siasatan awal mendapati semua mangsa yang dipercayai pekerja kebun sedang tidur di dalam pondok yang didirikan di kawasan tidak sah, iaitu di bawah cerun curam.

“Akibat daripada hujan lebat, berlaku tanah runtuh yang menyebabkan tanah menimbus pondok tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya mendapat panggilan kecemasan mengenai kejadian itu daripada orang awam kira-kira 10.40 pagi sebelum 28 pegawai dan anggota, termasuk dari Jabatan Bomba dan Penyelamat bergegas ke lokasi untuk operasi mencari serta menyelamat.

“Apabila tiba di tempat kejadian pada 11.30 pagi, didapati 2 mangsa berjaya dikeluarkan rakan mereka dan disahkan meninggal dunia.

“Mangsa ke-3 berjaya dikeluarkan pada 1.20 tengah hari ​​​​​​dan didapati telah meninggal dunia,” katanya sambil menambah semua mayat dibawa ke Hospital Tanah Rata untuk dibedah siasat.