Abdullah Sani kecundang di Kapar

PETALING JAYA: Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, yang mengundang kontroversi kerana mendakwa terdapat usaha menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri, kecundang dalam pemilihan ketua bahagian PKR Kapar semalam.

Ahli Parlimen Kapar itu terpaksa berpuas hati di tempat ke-3 dalam pertandingan 5 penjuru. Beliau memperoleh 626 undi.

Jawatan itu dimenangi oleh Dr Daroyah Alwi, yang memperoleh 1,678 undi. Daroyah adalah exco kerajaan Selangor dan juga Adun Sementa.

Abdullah turut menawarkan diri sebagai ahli majlis pimpinan pusat. Beliau berada di tempat ke-15 dengan 990 undi. Untuk jawatan itu, PKR Kapar memilih R Sivarasa yang memperoleh 1,294 undi.

Sementara itu, Kapar turut memilih Rafizi Ramli untuk jawatan timbalan presiden. Dalam persaingan sengit merebut jawatan nombor 2 parti, Rafizi memperoleh 1,980 undi berbanding 1,505 undi yang diberi kepada penyandang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Seramai 249,850 ahli PKR layak mengundi di Selangor, dan fasa pertama pemilihan semalam menyaksikan pemilihan di adakan di 9 daripada 22 bahagian, iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Serdang, Kelana Jaya, Subang, Kapar, Kota Raja dan Sepang.

Abdullah pada 22 Ogos lepas memohon maaf kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas dakwaan wujud konspirasi menghalang Anwar menjadi perdana menteri ke-8.

Katanya, Anwar menghubunginya sendiri untuk menjelaskan situasi sebenar dan beliau kini memahami peralihan kuasa antara 2 pemimpin itu.