Anifah bidas menteri kerana usul angkat ucapan Dr M

Gambar Bernama.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anifah Aman (Bebas-Kimanis) membidas Datuk Saifuddin Abdullah kerana mencadangkan ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-73 diangkat sebagai dasar luar negara Malaysia Baharu.

Bekas menteri luar negeri itu berkata tiada apa yang baharu dalam ucapan perdana menteri 29 September lalu itu, cuma menegaskan dasar luar negara sedia ada.

“Saya ingat yang baru cuma menteri saja, dasar ini memang wujud. Ini seolah-olah Malaysia sebelum kerajaan Pakatan Harapan tidak mempunyai dasar,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Anifah menggesa Saifuddin supaya berbincang dengan para pegawai kementerian dan menumpukan kepada pemerkasaan Wisma Putra, lebih-lebih lagi apabila apa yang diusulkan hari ini bukanlah dasar baharu tetapi cadangan menteri.

“Memang kebiasaannya menteri baharu akan memperkenalkan sesuatu. Itu saya takkan sanggah,” katanya.

Anifah menjelaskan isu yang ditekankan Dr Mahathir seperti Palestin dan Rohingya diberi perhatian oleh pentadbiran-pentadbiran terdahulu dan dibawa ke pentas antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM).

“YB kena duduk dan lihat apa penglibatan kita yang lalu,” katanya.

“Kalau balik ke kawasan (Indera Mahkota) cakap begini mungkin boleh diterima, tetapi di sini malangnya bekas menteri kebetulan ada di Dewan.”