Anwar kembali beraksi, sah bergelar wakil rakyat

Kali terakhir Anwar terlibat dalam perbahasan di Parlimen ialah ketika sesi pembentangan Bajet 2015 pada Okt 2014. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim secara rasmi bergelar wakil rakyat apabila selesai mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson di Dewan Rakyat.

Majlis angkat sumpah itu dilakukan di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, pada hari pertama Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Parlimen ke-14, pagi ini.

Anwar segak berbaju Melayu hitam mengangkat sumpah dengan turut disaksikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau bakal beraksi semula di Dewan Rakyat selepas kali terakhir menjadi Ahli Parlimen pada 2014.

Anwar sebelum itu memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 2013 dengan majoriti 11,721 undi menewaskan Mazlan Ismail (BN) dan Abdullah Zawawi Samsudin (Bebas).

Dalam pilihan raya kecil Port Dickson Sabtu lalu ketua umum PKR itu memperoleh 31,016 undi mengalahkan pesaing terdekatnya daripada PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar yang mendapat 7,456 undi. Lima calon Bebas lain hilang wang pertaruhan masing-masing, termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abd Samad dan bekas pembantu beliau Mohammad Saiful Bukhari Azlan.

Anwar, 71, layak bertanding dalam PRK Parlimen Port Dickson selepas mendapat pengampunan Diraja daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei lepas.

Beliau dijatuhi hukuman penjara pada 10 Feb 2015 setelah rayuannya terhadap sabitan meliwat sebelum itu ditolak.

Kerusi Parlimen Port Dickson kosong selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, meletakkan jawatan pada 12 Sept lalu bagi membolehkan Anwar bertanding di situ.

Ia adalah sebahagian daripada pelan Pakatan Harapan bagi melantik beliau sebagai perdana menteri kelapan menggantikan Dr Mahathir.