Anwar: Saya komited laksana agenda reformasi Parlimen

Anwar berkata, beliau tidak akan menerima jawatan sebagai pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Port Dickson yang baru Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau komited untuk melaksanakan agenda reformasi Parlimen, termasuk mengusulkan penubuhan jawatankuasa terpilih Parlimen untuk tujuan itu.

Beliau berkata penubuhan jawatankuasa tersebut itu adalah bagi memastikan agenda transformasi Dewan Rakyat dapat dilakukan dengan segera.

“Kita akan meneliti cadangan sedia ada dan kemukakan pandangan baru dan sekiranya perlu kita akan berbincang dengan pimpinan kerajaan.

“Tugas kita sekarang ialah memantapkan perjalanan Parlimen dan menyokong kerajaan sekarang di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya dalam sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini.

Majlis angkat sumpah itu dilakukan di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, pada hari pertama Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Parlimen ke-14, pagi ini.

Hadir menyaksikan upacara itu adalah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang duduk di barisan pembangkang.

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau akan bertemu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dan Speaker Dewan Rakyat bagi membincangkan beberapa perkara yang perlu disegerakan tanpa menyebut isu tersebut.

Anwar berkata beliau mahu peranan Dewan Rakyat direformasikan, bukan hanya meluluskan dasar kerajaan seperti berlaku pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Ditanya perasaan beliau setelah memasuki Dewan Rakyat semula, Anwar berkata beliau teruja dan akan menikmati saat-saat sebagai Ahli Parlimen.

“Gembira, saya pernah dinafikan hak dari masa ke masa sehinggalah berlakunya pilihan raya kecil Port Dickson.

“Saya gembira kerana duduk sebelah Kit Siang. Lama dulu duduk sebelah dia juga,” katanya.

Anwar bagaimanapun berkata, beliau tidak akan memegang jawatan pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan dan lebih selesa berperanan sebagai Ahli Parlimen biasa dengan fokus kepada agenda reformasi badan itu.

“Tidak (tidak akan dilantik sebagai pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan). Saya hanya penyokong Ketua Whip sahaja.

“Lebih relaks, nak cakap apa pun boleh, kalau kedudukan formal tak boleh,” katanya.

Anwar juga menlahirkan penghargaan kepada Dr Mahathir yang hadir pada majlis angkat sumpah beliau hari ini.

Beliau berkata perdana menteri itu bersedia untuk menangguhkan mesyuarat Kabinet untuk hadir ke acara itu.

“Saya amat terkesan atas semangat persaudaraan yang ditunjukkan.

“Tadi pun sebelum angkat sumpah, saya bersalam dengan beliau. Saya akan pastikan kerajaan stabil dan kukuh di bawah pimpinan Dr Mahathir,” katanya.