Buktikan SST naikkan harga barang, kata menteri

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mempertahankan kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa tiada jaminan harga barang akan turun selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Sebaliknya, Mohd Redzuan meminta pembangkang tunjukkan bukti sektor yang mencatatkan kenaikan harga mendadak selepas GST dihapuskan.

“Pembangkang ada sebut SST menjadi beban kepada rakyat tetapi saya hendak ulang lagi sekali, pembangkang tidak berjaya mengetengahkan sektor apakah yang harganya tidak terkawal.

“Mereka gagal berikan kita jawapan, Lim juga tanya dan minta contoh diberikan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Sehenti Keusahawan di SME Corp Malaysia.

Redzuan sendiri akan maklumkan kepada kerajaan sekiranya SST terbukti menyebabkan kenaikan harga.

“Saya hendak dengar juga dan akan maklumkan kepada kerajaan,” katanya.

Pada masa sama, Redzuan berkata Perbadanan Usahawan Kecil dan Sederhana (SME Corp) akan dibubarkan sekiranya agensi itu tidak mencapai hasrat kerajaan membantu usahawan.

“Kita bukan sahaja melihat sama ada SME Corp tetapi juga mana-mana sekalipun bentuk agensi yang berada di bawah kementerian.

“Kalau tak mencapai sudah tentu SME Corp akan dibubarkan, sekiranya tak buat tugas dengan baik serta amanah,” katanya.