Jika Peguam Negara, SPR dan hakim tersilap…

Dalam pilihanraya kecil Port Dickson yang baru berlalu, isu kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding atas alasan tidak mendapat pengampunan bebas daripada Yang di-Pertuan Agong menjadi satu topik hangat.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Harun bertegas sehingga tarikh mengundi bahawa Anwar layak bertanding kerana ketika hari pencalonan, SPR menerima kertas pencalonan daripada Anwar dan pengampunan yang melayakkan beliau bertanding.

Satu kes mahkamah telah difailkan oleh Noraziah Mohd Sharif. Pemohon mengemukakan tindakan undang-undang bagi memohon perisytiharan Anwar tidak layak bertanding untuk mana-mana kerusi Parlimen.

Beliau memohon pengisytiharan bahawa pengampunan yang diberikan kepada Anwar adalah tidak membatalkan hilang kelayakannya untuk menjadi Ahli Parlimen berikutan sabitan salah beliau sebelum ini.

Anwar yang juga presiden PKR dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dinamakan sebagai responden.

Kedua-dua responden telah menfailkan bantahan awal terhadap permohonan ini dan Mahkamah Tinggi telah menetapkan 8 November untuk mendengar permohonan bantahan awal Lembaga Pengampunan.

Lembaga Pengampunan berpendapat Mahkamah Tinggi tiada bidang kuasa untuk mendengar permohonan Noraziah kerana isu ini berkait dengan pilihan raya dan sepatutnya didengar oleh Mahkamah Pilihan Raya. Anwar pula mencabar dari sudut bahawa Norasiah tiada locus standi untuk mengemukakan tuntutan tersebut serta menyatakan keputusan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar.

Tulisan ini bukan bertujuan untuk berdebat tentang siapa betul dan siapa silap.

Sebaliknya ia sekadar membangkitkan persoalan sekiranya mereka yang diberikan kuasa penting seperti hakim, Peguam Negara dan SPR tersilap membuat keputusan – bukan dalam kes Anwar sahaja, tetapi kes lain juga – maka apakah mereka tidak perlu dipertanggungjawabkan?

Apakah yang boleh mengikat atau memberi tekanan kepada Peguam Negara, hakim dan SPR agar mereka betul-betul menilai sesuatu isu dari semua sudut sebelum satu-satu keputusan dibuat? Apakah ada mekanisme tertentu yang boleh menghukum mereka yang tersilap membuat keputusan?

Sebagai contoh mudah – pada zaman Barisan Nasional, kes SRC International tidak diteruskan oleh Peguam Negara pada ketika itu.

Pada zaman Pakatan Harapan pula, kes banglo Menteri Kewangan pula tidak diteruskan. Andai kata kedua-duanya keputusan yang silap pada masa akan datang, siapakah yang boleh menghukum Peguam Negara yang tersilap membuat keputusan tersebut pada waktu itu?

Dari sudut penghakiman pula, sekiranya mahkamah lebih tinggi mendapati mahkamah lebih rendah membuat keputusan yang salah – contohnya Mahkamah Rayuan mendapati Mahkamah Tinggi tersilap membuat keputusan tanpa kehadiran bukti atau hujah baru – apakah hakim yang membuat keputusan salah itu akan dikenakan tindakan? Atau mereka sekadar membaca hujah Mahkamah Rayuan dan “life goes on” seperti biasa?

Bagaimana pula sekiranya hakim Mahkamah Persekutuan tersilap membuat keputusan? Contohnya kes Anwar yang menyaksikan beliau dijatuhi hukuman penjara selama 5 tahun, apakah pengampunan yang diterima itu menandakan hakim Mahkamah Persekutuan tersilap membuat keputusan? Ataupun pengampunan itu satu petanda bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan itu betul, justeru pengampunan boleh diberikan?

Jika ia satu keputusan silap, bukankah ia sangat tidak adil pada Anwar manakala hakim yang membuat keputusan silap tetap tidak dikenakan apa-apa tindakan meskipun ia menyebabkan Anwar merana di penjara?

Dari sudut SPR pula, apakah ada hukuman terhadap SPR sekiranya satu hari nanti ada mahkamah memutuskan bahawa pemenang satu-satu pilihan raya terpaksa dibatalkan kerana terbukti melanggar peraturan pilihan raya yang telah dilaporkan kepada SPR tetapi SPR tidak mengendahkannya?

Untuk memulihkan institusi bebas ini dan keyakinan rakyat, adalah amat penting bagi mereka yang menduduki kerusi penting itu turut dipertanggungjawabkan atas segala keputusan mereka.

Jika mereka terbukti tersilap, satu mekanisme perlu diwujudkan agar mereka juga menerima padahnya – terutama keputusan yang melibatkan keluhuran perlembagaan dan nyawa.

Hanya dengan begitu, semak dan imbang yang berkesan boleh terlaku.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.