Khairy: Usul gantung keahlian Myanmar jika bukan retorik

KUALA LUMPUR: Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) menyeru kerajaan membuktikan ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-73 bukan retorik dengan mengusulkan Asean menggantung keahlian Myanmar kerana pembantaian etnik Rohingya.

Beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan lebih tegas jika ia benar-benar mahu mengangkat ucapan perdana menteri 29 September lalu sebagai dasar luar negara Malaysia Baharu.

“Kita kena ambil pendekatan lebih membina dan bukan dasar tidak campur tangan dalam usaha merungkai kemelut Rohingya,” katanya di Dewan Rakyat.

“Isu ini ibarat penghapusan bangsa Bosnia yang berlaku di depan mata, membabitkan negara jiran tetapi masih tiada penyelesaian menyeluruh.”

Khairy berkata demikian ketika membahaskan usul Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah yang mahu mengangkat ucapan Dr Mahathir sebagai dasar luar negara Malaysia Baharu.

Terorisme

Sementara itu, Khairy tidak bersetuju dengan pendirian kerajaan bahawa konflik Israel-Palestin menjadi sebab yang kuat terjadinya perang melawan pengganas hari ini.

Sebaliknya, bekas menteri belia dan sukan itu menyorot perhatian kerajaan kepada radikalisme.

“Akar umbi kepada elemen keganasan ialah kegagalan dunia memahami kebangkitan pemikiran radikal, antaranya yang dapat kita lihat menerusi perbalahan antara Sunnah Wal Jamaah dan Syiah, selain penularan gerakan Taliban.

Khairy berkata melawan radikalisme sekian lama diperjuangkan Malaysia di pentas dunia.

“Ia bukan kerangka dasar luar baharu seperti diuar-uarkan kerajaan,” katanya.