Menteri umum jawatankuasa penilaian Lynas

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advance Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Pahang ditubuhkan untuk memastikan Malaysia tidak menjadi tempat pembuangan bahan tercemar oleh syarikat dari negara lain.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata Kabinet pada 10 Oktober lepas memutuskan supaya anggota jawatankuasa terdiri daripada mereka yang tidak menyatakan pendirian secara terbuka, sama ada untuk menyokong atau membantah operasi Lynas sebelum ini.

“Ini bagi mengelakkan mana-mana pihak mempersoal kredibiliti jawatankuasa ini disebabkan pendirian ahli-ahlinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kementerian meneliti keanggotaan jawatankuasa itu dan berpandangan semua calon mempunyai kepakaran di bidang yang berkenaan iaitu pengurusan alam sekitar, kesihatan awam dan keselamatan sinaran radioaktif.

Katanya 6 ahli dilantik untuk menganggotai jawatankuasa berkenaan iaitu felo utama di Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Mazlin Mokhtar; profesor pelawat United Nations University–International Institute for Global Health Prof Jamal Hisham Hashim dan Pengarah Unit Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Universiti Teknologi Malaysia Prof Maketab Mohamed.

Turut menyertai jawantankuasa tersebut adalah Prof Madya Dr Anita Abdul Rahman dari Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Perubatan, Universiti Putra Malaysia; Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengurusan Sumber Alam, Universiti Malaysia Pahang Prof Madya Muzamir Hasan dan bekas pengarah Bahagian Udara dan Bahan Merbahaya Jabatan Alam Sekitar Malaysia Datin Paduka Che Asmah Ibrahim.

Yeo berkata jawatankuasa eksekutif itu bertanggungjawab menjalankan penilaian secara objektif, telus dan terbuka demi kepentingan semua pihak, dan prosiding jawatankuasa turut dibuka kepada orang awam sebagai pemerhati.

“Objektif penubuhan Jawatankuasa Eksekutif ini adalah untuk menilai operasi LAMP termasuk aspek keselamatan, kesihatan serta alam sekitar.

“Penilaian juga dibuat terhadap lanjutan tempoh masa untuk penstoran buangan terjadual, selaras dengan Peraturan 9, Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005,”katanya.

Yeo berkata jawatankuasa itu diberi tempoh masa 6 minggu untuk menjalankan penilaian dan memberikan satu laporan beserta syor kepada kerajaan.