Menteri usahawan 3 kali tolak gelaran ‘Datuk Seri’

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mendedahkan pernah menolak gelaran “Datuk Seri” sebanyak 3 kali sebelum memutuskan untuk menerimanya daripada Yang di-Pertua Melaka Sabtu lalu.

“Dahulu, 3 tahun berturut-turut hendak bagi tetapi saya kata belum masanya lagi,” katanya kepada pemberita di Dewan Mahkota SME Corp Malaysia hari ini.

“Kali ini dia hendak beri maka saya terimalah.”

Ahli politik PPBM itu sebelum ini menolak gelaran kerana merasakan dirinya seorang rakyat biasa.

“Mesti ada sebab-sebab tertentu dia berikan kepada saya,” katanya.

Redzuan salah seorang daripada 5 menteri yang dianugerahkan darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri daripada Tun Dr Mohd Khalil Yaakob sempena ulangtahun kelahiran ke-80.

Menteri lain yang menerima gelaran adalah Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.