Najib sindir Maszlee, harap kaji warna baju, bangunan sekolah

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak menyindir Maszlee Malik hari ini dengan berkata dia berharap menteri pendidikan akan mengkaji warna baju dan bangunan sekolah.

Bekas perdana menteri berkata demikian selepas Maszlee mengumumkan kementerian akan menentukan warna stokin para pelajar selepas perbincangan dengan pihak berkepentingan selesai.

Najib menyindir Maszlee dengan berkata pemimpin PPBM itu seorang yang berpandangan jauh dan tidak faham mengapa ada orang mengkritik menteri itu.

“Warna kasut dan stokin sebenarnya penting dalam perkembangan dan pembentukan pelajar yang sempurna. Sayang sekali menteri-menteri BN dulu tidak buat kajian sedemikian,” katanya di Facebook.

Semalam, Naib Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera Datuk Ameer Ali Mydin mahu kementerian menjelaskan sama ada warna putih stokin para pelajar akan ditukar kepada warna hitam mengikut penukaran warna kasut sekolah.

Najib berkata para pelajar akan mendapat manfaat dan berjaya di masa depan dengan penukaran warna itu.