PAS sedia anjur demonstrasi bantah ‘Oktoberfest’ jika gugat kepentingan awam, kata Takiyuddin

Takiyuddin berkata, jika program itu boleh menimbulkan rasa tidak senang dan ketegangan dalam masyarakat, maka ia wajar dibantah.

KUALA LUMPUR: PAS berkata parti itu tidak akan teragak-menganjurkan demonstrasi bagi membantah penganjuran pesta arak “Oktorberfest 2018″ sekiranya ia menimbulkan ketegangan dan menceroboh kepentingan masyarakat awam.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata Oktoberfest tidak sepatutnya menjadi program umum kerana ia melibatkan sensitiviti agama, budaya dan pandangan kelompok masyarakat yang berbeza.

“Kalau sekiranya pesta seumpama ini dibuat dalam kelompok terkawal, tidak melibatkan orang lain, saya kira ia boleh dibincangkan.

“Contohnya larangan merokok, ia diletakkan di tempat khusus, arak pun sepatutnya begitu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

“Kalau program itu boleh timbulkan rasa kurang menyenangkan dan boleh pula menimbulkan ketegangan dalam masyarakat, maka sewajarnyalah ia dibantah.

“Mungkin kalau sampai peringkat perlukan demostrasi, kita akan berdemonstrasi,” katanya.

Pada 9 Oktober lalu Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, pesta arak “Oktorberfest 2018″ boleh dianjurkan jika pihak penganjur membuat permohonan mendapatkan permit dan mematuhi kesemua garis panduan yang ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata, antara garis panduan yang perlu dipatuhi penganjur ialah orang Islam tidak dibenarkan terlibat dan acara itu tidak dijalankan di tempat terbuka.

Takiyuddin berkata, kerajaan negeri Kelantan misalnya hanya melarang perniagaan judi, tetapi arak untuk orang bukan Islam tidak dihalang.

“Bagi PAS, itu hak bukan Islam, dan dalam ruang lingkup terkawal ia tak ada masalah.

“Perkara ini boleh dilakukan dengan syarat ia tidak melibatkan pencerobohan ke atas kepentingan orang lain. Kalau boleh dikawal, dalam keadaan apapun boleh dibenarkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Presiden PAS Datuk Seri Abd Hadi Awang berkata parti itu gembira dengan keputusan pilihan raya kecil (PRK) di Port Dickson Sabtu lepas yang menyaksikan calonya mendapat undi lebih tinggi berbanding pencapaian dalam pilihan raya umum 9 Mei.

“Dapat undi lebih 7,000 dalam keadaan kita bersendirian, satu parti sahaja, dan bertanding 7 penjuru. Walaupun banyak penjuru, tetapi undi meningkat.

“Apa yang penting ialah kita perlu dibuat ‘postmortem’. Kita akan buat seawal yang mungkin, jadi boleh tahu undi kita pada masa akan datang. Kita ada jentera di Port Dickson,” katanya.

Dalam pilihan raya kecil Port Dickson Sabtu lalu ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mewakili Pakatan Harapan memperoleh 31,016 undi mengalahkan pesaing terdekatnya daripada PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar yang mendapat 7,456 undi.

Lima calon Bebas lain masing-masing hilang wang pertaruhan, termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abd Samad dan bekas pembantu beliau Mohammad Saiful Bukhari Azlan.