Penganalisis: Anwar tidak akan menang besar jika ada protes

PETALING JAYA: Penganalisis politik Kamarul Zaman Yusoff tidak bersetuju dengan dakwaan PAS mengatakan pilihan raya kecil Port Dickson mencatatkan peratusan keluar mengundi yang rendah kerana protes pengundi.

Beliau berkata calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan memperoleh peratusan undi yang tinggi pada PRK Sabtu lalu itu jika benar terdapat protes seperti yang dikatakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kalau betul ini undi protes kerana undi tidak pergi kepada parti lain seperti PAS atau Tan Sri Isa Samad?” katanya kepada FMT.

“Sepatutnya undi itu diterjemahkan kepada pihak lawan sama ada PAS atau mana-mana calon Bebas.”

Beliau mengulas kenyataan Hadi yang berkata peratusan keluar mengundi yang rendah adalah petanda undi protes terhadap kerajaan Pakatan Harapan kerana gagal melaksanakan manifesto pilihan raya.

Kamarul berkata PAS tidak sepatutnya bersukacita dengan hasil pilihan raya itu andaikata benar dakwaan undi protes itu.

“Sebab walaupun undi protes, mereka tidak juga mengundi PAS,” katanya.

Kamarul berkata pengundi Port Dickson mempunyai sebab untuk mengundi Anwar kerana pemimpin PKR itu dikatakan pengganti Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata itu antara faktor yang membantu kemenangan Anwar, selain daripada pengaruh Dr Mahathir sendiri dan Umno tidak meletakkan calon.

“Mereka membayangkan akan mendapat banyak manfaat jika Datuk Seri Anwar menang di Port Dickson dan kemudian menjadi perdana menteri,” katanya.

“Jadi ini membawa satu aura yang besar kepada Anwar.”

Peratusan keluar mengundi PRK Port Dickson adalah 58.25%, kurang daripada 70% yang disasarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Anwar mendapat 31,016 undi berbanding calon PAS Mohd Nazari Mokhtar (7,456) dan Isa (4,230) yang bertanding sebagai calon Bebas.

Empat calon Bebas lain ialah bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan (82 undi), pakar perunding pengurusan Kan Chee Yuen (154 undi), bekas pensyarah universiti Lau Seck Yan (214 undi) dan personaliti media sosial Stevie Chan Ken Leong (337 undi).