Petugas kedutaan Iran di Turki pindah kerana ancaman bom

ANKARA: Petugas kedutaan Iran di Ankara dipindahkan pada Isnin selepas pasukan keselamatan Turki menerima maklumat mengenai kemungkinan terdapat ancaman bom bunuh diri, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan.

Selepas menerima amaran itu, polis Turki membawa keluar Duta Iran Mohammad Ebrahim Taherian Fard dan menutup jalan di mana kedutaan itu berada, lapor akhbar harian Turki Sozcu.

Polis antirusuhan bersenjata tiba di lokasi kejadian dan menggeledah kereta yang mencurigakan berhampiran kedutaan itu.

Menurut media Iran, para pegawai Iran menolak laporan berhubung kemungkinan serangan bom bunuh diri ke atas kedutaan itu.

Pihak berkuasa Turki bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden itu.

Turki dilanda beberapa siri serangan keganasan pada 2015 serta 2016 dan menyalahkan militan Kurdish serta kumpulan ektremis IS bagi serangan yang meragut nyawa beratus-ratus orang awam.