Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Harga minyak mentah Brent melepasi AS$80 adalah positif kepada imbangan fiskal Malaysia.

KUALA LUMPUR: Ringgit rendah berbanding dolar AS dalam dagangan awal hari ini berikutan permintaan yang lebih baik terhadap mata wang Amerika Syarikat (AS) itu, susulan peningkatan dalam hasil bon AS minggu lepas.

Pada 9 pagi, unit tempatan berada pada 4.1560/1590 berbanding dolar AS daripada 4.1530/1560 dicatatkan pada Jumaat lepas.

Bagaimanapun, peniaga berkata penurunan dalam mata wang tempatan itu dihadkan oleh harga minyak global yang lebih tinggi, dengan penanda aras antarabangsa Brent naik hampir 1.6%.

“Dengan harga minyak mentah Brent melepasi AS$80 setong, peserta pasaran melihat ini sebagai positif kepada imbangan fiskal Malaysia,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain, kecuali yen, apabila ia susut kepada 3.7114/7144 daripada 3.6971/7008 semasa ditutup pada Jumaat.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0127/0160 daripada 3.0149/0175, naik berbanding euro kepada 4.7998/8045 daripada 4.8092/8139 dan menokok berbanding pound British kepada 5.4481/4537 daripada 5.4861/4917.