Tun M: Saya gembira Anwar menang di Port Dickson

Dr Mahathir berkata, beliau gembira Anwar kembali ke Parlimen kerana mereka dari pihak yang sama.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad gembira Datuk Seri Anwar Ibrahim menang dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson Sabtu lalu.

Dr Mahathir berkata beliau memang sudah menjangka Anwar akan kembali ke Parlimen.

“Baiklah. Kita menjangka dia akan kembali, kita tahu dia akan menang.

“Kami menentang 7 orang yang bertanding dengan pembangkang dan kemenangan diperolehi sangat besar.

“Sudah tentu saya gembira, dia dari pihak yang sama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen.

Anwar secara rasmi bergelar wakil rakyat apabila selesai mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, pada hari pertama Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Parlimen ke-14, pagi ini.

Anwar segak berbaju Melayu hitam mengangkat sumpah dengan turut disaksikan Dr Mahathir.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail juga menyuarakan kegembiraan ketua umum PKR itu kembali di Parlimen.

“Alhamdulillah gembira bahawa sebelum ini beliau ‘dinafikan hak’ untuk bertanding dan kini dah masuk balik ke Parlimen setelah mendapat keampunan atas dasar ‘miscarriage of justice’.

“Bukan mengaku kesalahan, tetapi atas dasar ‘miscarriage of justice’,” katanya.

Kali terakhir Anwar terlibat dalam perbahasan di Parlimen ialah pada sesi pembentangan Bajet 2015 pada Okt 2014.

Beliau sebelum itu memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 2013 dengan majoriti 11,721 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Mazlan Ismail dan Abdullah Zawawi Samsudin (Bebas).

Dalam pilihan raya kecil Port Dickson Sabtu lalu ketua umum PKR itu memperoleh 31,016 undi mengalahkan pesaing terdekatnya daripada PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar yang mendapat 7,456 undi.

Lima calon Bebas lain hilang wang pertaruhan masing-masing, termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abd Samad dan bekas pembantu beliau Mohammad Saiful Bukhari Azlan.

Hapuskan hukuman mati

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata kerajaan belum memohon untuk meminda undang-undang bagi menghapuskan hukuman mati yang diperuntukkan terhadap beberapa kesalahan jenayah tertentu.

Beliau berkata, walaupun isu itu pernah disuarakan, ia tidak bermakna peruntukan undang-undang berhubung hukuman tersebut telah dihapuskan.

“Kita perlu menunggu sehingga kita lulus tindakan yang diperlukan untuk menghapuskan hukuman mati,” katanya.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong dilaporkan berkata, hukuman penjara minimum 30 tahun akan menggantikan hukuman mati, sekiranya pemansuhannya diluluskan Parlimen.

Beliau berkata, terdapat 18 kesalahan jenayah yang memperuntukkan hukuman mati, termasuk mengedar dadah, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, jenayah keganasan, membunuh, membunuh mangsa ketika penculikan, memiliki dan menggunakan senjata api, merogol sehingga menyebabkan kematian dan merogol kanak-kanak.

“Rang undang-undang (RUU) memansuhkan hukuman mati akan dibentangkan di Parlimen selepas memorandum mengenai perkara itu diluluskan Kabinet,” katanya ketika berucap dalam sebuah program anti-dadah di Sandakan semalam. Teks ucapan beliau dibacakan setiausaha politiknya, Martin Tommy.

Pada 10 Oktober lalu, Liew mengumumkan RUU pemansuhan hukuman mati dijangka dibentangkan di sidang Dewan Rakyat kali ini.