Tahanan Uighur tidak lakukan apa-apa kesalahan, kata Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata kerajaan membebaskan 11 etnik Uighur yang ditahan di negara ini kerana mereka tidak melanggar sebarang undang-undang di Malaysia.

“Mereka tidak melakukan apa-apa yang salah di negara ini,” kata Dr Mahathir kepada pemberita di lobi Parlimen.

Jumaat lalu, media melaporkan Malaysia membebaskan 11 etnik Uighur Muslim yang melarikan diri ke negara ini, selepas berjaya meloloskan diri dari penjara di Thailand tahun lalu dan menghantar mereka ke Turki.

Keputusan itu bertentangan dengan permohonan China supaya mereka dihantar pulang ke Beijing.

Tindakan itu dilihat bakal mengeruhkan hubungan dengan China yang sebelum ini teruji selepas Tun Dr Mahathir Mohamed menjadi perdana menteri, susulan kemenangan mengejut Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum, Mei lalu.

Dr Mahathir selepas itu membatalkan projek yang diberikan kepada syarikat China berjumlah lebih AS$20 bilion (RM83.17 bilion).

Pendakwa raya menggugurkan tuduhan terhadap semua etnik Uighur itu atas dasar kemanusiaan dan mereka tiba di Turki selepas diterbangkan keluar dari Kuala Lumpur, Selasa lalu, katanya peguam mereka, Fahmi Moin.