Tajuddin minta Azmin henti ungkit isu ‘rasuah’ pentadbiran lepas

KUALA LUMPUR: Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) hari ini mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya berhenti menyalahkan pentadbiran terdahulu berhubung perbuatan rasuah.

“Yang itu sudahlah, saya ingin sesi ini, penggal ini kita tidak boleh bahas cara macam itu lagi, malu la sikit kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini bakal perdana menteri, apa bangkit soal itu lagi, sekarang buat yang terbaik,” kata Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Pasir Salak-BN itu berkata demikian ketika bangkit membidas kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyalahkan pentadbiran lepas sehingga membebankan peneroka Felda.

“Saya nyatakan tadi kerajaan PH telah mengambil ketetapan untuk meletakkan pengurusan baru Felda mulai Julai 2018, masalah dihadapi kita mewarisi legasi pentadbiran Umno dan BN yang bila diberi amanah, mereka curang. melakukan rasuah dan penyelewengan,” kata Azmin di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Tajuddin berkata beliau bersetuju jika kerajaan PH memecat individu yang dilihat gagal menguruskan pentadbiran Felda.

Azmin kemudian bangkit menjelaskan pihaknya menyokong pendirian Tajuddin sambil memaklumkan kerajaan PH dalam proses menukar mereka yang dilihat gagal menjalankan tugas mengurus badan itu.

“Saya menyokong kenyataan Pasir Salak bahawa pengurusan yang tidak cekap harus dipecat dan dibuang dan itu kita lakukan, tetapi itu nak jadi calon di Port Dickson yang disokong ahli Umno dan Umno Bahagian, jadi saya harap YB Pasir Salak silalah beri kuliah kepada mereka,” katanya dalam nada sindiran yang ditujukan kepada bekas pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abd Samadyang turut bertanding dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Port Dickson Sabtu lepas. .

Azmin berkata kerajaan kini dalam proses menyusun semula pentadbiran Felda bagi memastikan nasib golongan peneroka terbela.

“Kita setuju bahawa kita memerlukan pendekatan baru untuk susun balik aktiviti peneroka Felda. Ini khusus untuk generasi kedua. Mereka harus diberi peluang dengan kemahiran baru dan dapat menceburi aktiviti baru bagi meningkatkan pendapatan keluarga masing-masing,” katanya.