Tindas Uyghur: PM langsung tak bantah China di PBB, kata Khairy

KUALA LUMPUR: Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) menyifatkan ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-73 “lompong” kerana langsung tidak sentuh tindakan China menindas etnik Uyghur.

Khairy berkata melihat kepada ucapan perdana menteri 29 September itu, kerajaan nampaknya masih lagi tidak mempunyai pendirian jelas tentang kelakuan kuasa besar Asia itu.

“Perkara besar yang terlepas dalam ucapan di PBB baru-baru ini ialah tindakan China terhadap etnik Uyghur. Ini tidak disentuh ketika banyak negara lain seperti Amerika Syarikat dan Australia menyatakan bantahan,” katanya di Dewan Rakyat.

Khairy berkata jika kerajaan mahu jadi pejuang isu sejagat maka ia tidak boleh mengabaikan isu Uyghur.

“Kalau kita ambil keputusan bahawa hubungan antarabangsa berdasarkan moral dan ideal maka perlulah kita ada pendekatan sama rata berkaitan penindasan mana-mana golongan minoriti Xinjiang dan Rakhine,” katanya.

Khairy berkata demikian ketika membahaskan usul Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah yang mahu mengangkat ucapan Dr Mahathir sebagai dasar luar negara Malaysia Baharu.

Awal pagi tadi, perdana menteri berkata kerajaan membebaskan 11 etnik Uyghur yang ditahan kerana mereka tidak melanggar undang-undang Malaysia.

“Mereka tidak melakukan apa-apa yang salah di negara ini,” kata Dr Mahathir kepada pemberita di lobi Parlimen.

11 orang Uyghur itu ditahan dan didakwa kerana memasuki Malaysia secara haram pada April selepas lolos dari penjara di Thailand pada November tahun lepas.

Media melaporkan Beijing mendesak Putrajaya menyerahkan 11 orang Uyghur itu sejak Februari tetapi pendakwaraya menggugurkan tuduhan atas sebab kemanusiaan dan mereka kemudian terbang ke Turki minggu lepas.

China dituduh melakukan pencabulan hak asasi manusia di Xinjiang, mendera tahanan Uyghur dan mengawal agama dan budaya mereka secara ketat.

Beijing menafikan semua salahlaku.