Ucapan Dr M jadi kerangka, bukan dasar luar negara, kata Saifuddin

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah membetulkan Datuk Seri Anifah Aman (Bebas-Kimanis) berhubung usul tentang ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke-73 hari ini.

Saifuddin berkata Anifah nampaknya tidak faham usul itu kerana sebenarnya ia mahu mengangkat ucapan perdana menteri 29 September lalu sebagai “kerangka” kepada dasar luar negara.

“Saya tak pernah kata ada dasar luar baharu. Perkataan dipilih ialah ‘kerangka dasar luar’ Malaysia Baharu, bukan dasar luar baharu bagi Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

“Bekas menteri luar negeri tak faham Bahasa Melayu.”

Terdahulu, Anifah membidas Saifuddin kerana mencadangkan ucapan Dr Mahathir di PBB diangkat sebagai dasar luar negara Malaysia Baharu kerana tiada apa yang baharu dalam ucapan itu.

Beliau berkata ucapan Dr Mahathir itu cuma menegaskan dasar luar negara sedia ada.

Saifuddin menjelaskan kerangka itu sebenarnya “perubahan dalam kesinambungan” dasar luar negara sedia ada.

“Saya harap tak timbul isu nafikan yang lalu. Saya dah sebut apa yang kekal, keberhasilan yang ingin dicapai dan apa perubahan dari segi keutamaan dan pendekatan.

“Kena lihat dengan dada terbuka dan tak perlu defensif,” katanya.

Mengenai gesaan Anifah supaya beliau berbincang dengan para pegawai kementerian dan tumpu kepada pemerkasaan Wisma Putra, Saifuddin berkata perbincangan diadakan secara berterusan termasuk sebelum dan selepeas mesyuarat jemaah menteri.

“Jangan main-main, nak tembak biar betul,” katanya.

Saifuddin juga berharap pemimpin Sabah itu lebih “beradab” selepas ini.

“Lain kali lepas duduk Dewan biar beradap sikit. Kalau tidak saya malu menjadi menteri menggantikan menteri luar yang ganas dan kasar macam ini,” katanya.