Dinobat 10 terbaik dunia, atlet tagih sokongan, dana kerajaan

Soh Wai Ching mengibarkan Jalur Gemilang selepas menyertai pertandingan ‘tower running’ di Rusia.

KUALA LUMPUR: Seorang atlet kecewa terpaksa berjuang bersendirian di peringkat global tanpa sokongan Majlis Sukan Negara (MSN) serta dana Kementerian Belia dan Sukan (KBS), walaupun beliau kini berada di kedudukan ke-10 terbaik dunia.

Soh Wai Ching, 24, ialah satu-satunya atlet dari Asia Tenggara yang mendapat kedudukan 10 teratas dunia berdasarkan ranking Towerrunning World Association (TWA).

Acara “tower running” menghendaki peserta mendaki anak tangga dari bawah ke puncak menara. Mata kemenangan dikira berdasarkan masa pelari terawal sampai ke puncak.

“Memang rasa kecewa kerana semuanya menggunakan wang sendiri. Saya pernah cuba dapatkan tajaan daripada syarikat swasta, namun ditolak kerana syarikat-syarikat itu sukakan sukan berkumpulan,” katanya kepada FMT.

Aksi Soh Wai Ching mendaki anak tangga dalam sebuah pertandingan ‘tower running’ di luar negara.

Atas usaha Soh sendiri, Malaysia kini di tempat ke-18 dunia, menewaskan Rusia di kedudukan ke-20, Singapura (27), Thailand (35), Korea Selatan (39) dan Portugal (51).

Katanya, beliau terpaksa menyertai pertandingan dalam negara dan menggunakan wang kemenangan itu untuk membeli tiket penerbangan ke luar negara.

“Saya akan sertai acara maraton dan setelah menang, wang ganjaran itu akan digunakan untuk membiayai tiket penerbangan bagi sertai acara ‘tower running’ (di luar negara).

“Kadang-kadang saya rasakan tidak ada motivasi untuk teruskan sukan ini kerana saya berusaha keras membawa bendera Malaysia dengan megah.

“Bahkan, atlet luar negara turut mempersoalkan bagaimana kerajaan langsung tidak memberikan bantuan. Namun, saya sedar kenapa sukan yang saya sertai ini tidak mendapat perhatian.”

Gagal jumpa menteri

Soh berkata, beliau sudah beberapa kali ke KBS membuat temujanji, namun sehingga hari ini masih gagal menemui Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Saya pergi sendiri ke KBS, buat temujanji dengan pegawai Syed Saddiq untuk bertemu dengannya dan membincangkan serta memperkenalkan sukan ‘tower running’ kepadanya.

“Namun, masih belum dapat (bertemu) lagi. Saya pergi buat temujanji itu sekitar Julai, Ogos dan September lalu.”

Soh Wai Ching (kiri) mendapat tempat ke-4 dalam pertandingan ‘tower running’ di Moscow, Rusia, tahun ini.

Beliau hairan kenapa kerajaan boleh menumpukan perhatian kepada sukan lain dan memberi dana besar untuk membangunkan “e-sport”, tetapi langsung tidak menghiraukan sukan diceburinya yang hanya memerlukan dana kecil.

“Saya rasa tidak berapa adil, sukan seperti saya (ceburi) yang tidak ada dalam Sukan SEA, Asean atau di peringkat Olimpik tidak diberikan perhatian oleh KBS. Apa-apa pun, saya tetap mengibarkan bendera Malaysia.

“Sukan seperti skuasy walaupun tidak disenaraikan sebagai sukan di peringkat tertinggi, namun masih mendapat sokongan dan perhatian KBS.

“Jutaan ringgit disalurkan kepada ‘e-sport’ dan beberapa sukan lain seperti bola sepak, namun sukan saya ini tidak perlukan wang banyak, saya hanya perlukan sekitar RM5,000 untuk tiket penerbangan dan penginapan sahaja.”

Sasaran

Jika diberikan peluang dan status sebagai atlet negara serta kemudahan latihan di MSN, Soh akan membuktikan beliau boleh berada di kedudukan pertama dunia dalam sukan itu.

“Percayalah, saya hanya perlukan 3 tahun sahaja. Ia adalah untuk capai kedudukan pertama dunia. Berilah keyakinan kepada saya, jika saya tidak boleh capai, saya akan kembali kepada kehidupan biasa.

“Saya pertaruhkan masa depan saya untuk sukan ini. Saya harapkan dengan bantuan menteri KBS dapat membenarkan saya sertai MSN, tinggal, makan dan minum di sana untuk saya berlatih.”

Tahun lalu, Soh dinobatkan peserta terbaik negara dan mendapat tempat ke-2 secara keseluruhan dalam pertandingan “KL Tower International Towerthon Challenge”.

Soh Wai Ching menamatkan pendakian dalam “La Verticale De La Tour Eiffel Tower 2018″ di Perancis di tempat ke-9.

Di peringkat antarabangsa, antara pertandingan pernah disertainya ialah “Towerrunning World Championship 2018″ di Menara Taipei 101, Taiwan dan beliau menduduki tangga ke-10.

Dalam pertandingan “La Verticale De La Tour Eiffel Tower 2018” di Perancis, Soh melayakkan diri ke kategori 20 atlet elit dan mendapat tempat ke-9 dalam pertandingan itu.