Isu SST: Lain orang, lain cerita, kata Najib

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak hari ini menyerang Kementerian Kewangan membuat kenyataan bercanggah berhubung harga barangan selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Bekas perdana menteri itu merujuk kenyataan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua di Dewan Rakyat pada Ogos lalu yang harga barangan akan turun susulan SST, tetapi Lim Guan Eng semalam menafikan beliau pernah menyatakan harga akan turun selepas cukai itu diperkenalkan semula.

“Saya belek berita lama terjumpa ini. Hebat juga strategi komunikasi mereka. Lain orang, lain cerita,” tulisnya dalam Facebooknya hari ini sambil melampirkan laporan FMT pada 7 Ogos lalu yang memetik Pua sebagai berkata, beliau percaya harga barangan lebih murah selepas pelaksanaan SST.

Najib turut membangkitkan kesilapan titik perpuluhan yang diumumkan Lim pada Ogos lalu, di mana baki tabung bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) hanya RM148.6 juta, bukannya RM1.486 bilion.

Lim dilaporkan berkata, kesilapan itu berpunca daripada pegawainya yang silap meletakkan titik perpuluhan.

“Sama macam tersalah titik perpuluhan, saya rasa mungkin Kementerian Kewangan keliru mengenai SST ini,” kata Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, rakyat kini hidup susah disebabkan pelaksanaan SST dan lebih banyak cukai akan diperkenalkan kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mampu meraih pendapatan mencukupi selepas memansuhkan GST.

“Cuba kita tanya diri, dapatkah kita merasai manfaat penggantian GST dengan SST?

“Kos sara hidup semakin menekan kehidupan rakyat.

“Dalam semua ini, yang kita dapat lihat ialah begitu selesa pemimpin kerajaan PH hari ini di pejabat mereka, ke hulu ke hilir dan menikmati pelbagai kemudahan.”