Malaysia tak mampu hasil jet pejuang kerana masalah kewangan

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengakui Malaysia tidak mampu mengeluarkan jet pejuang sendiri kerana berdepan kekangan kewangan.

“Di pihak universiti atau penyelidik ada memberi pandangan Malaysia boleh mengeluarkan kapal terbang pejuang menjelang 2030.

“Kita sudah mampu hasilkan kapal terbang penumpang, walaupun ia masih di peringkat kecil, nak besarkannya tiada masalah. Tetapi, untuk buat jet pejuang, masalahnya belum ada keupayaan penuh, terutamanya dari sudut kewangan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Abdul Latiff Ahmad (BN-Mersing) mengenai usaha kementerian serta Majlis Industri Pertahanan Malaysia (MIPM) membantu syarikat industri pertahanan tempatan menyediakan keperluan pertahanan negara sambil menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, selain soal kewangan, Malaysia turut menghadapi saingan sengit dalam menjual jet pejuang dan akhirnya negara yang mengalami kerugian.

“Kalau keluar setakat 50 buah misalnya, ia tidak ekonomik. Mesti hasilkan banyak dan kalau banyak, nak jual di mana? Saingan begitu banyak, maka penyelidikan sebegitu perlu ditumpukan.”

Jangan perlekeh keupayaan ATM

Mat Sabu turut mengingatkan semua pihak tidak memperlekehkan kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, peralatan ATM mencukupi dan berada dalam keadaan baik serta sedia digunakan, jika berlaku peperangan.

“Kita tidak akan berperang dengan mana-mana negara, tetapi kita bersiap siaga sepenuhnya, tentera kita bersemangat.

“Kalau ada kerosakan (peralatan tentera), kita akan baiki. Kapal terbang kita bukan Sukhoi sahaja, ada banyak lagi di Butterworth (Pulau Pinang).”

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang ingin tahu sejauh mana keupayaan jet pejuang ATM, khususnya dalam operasi dan peperangan.