PETALING JAYA: Gaji rendah, bunga pinjaman terkumpul yang tinggi dan kelemahan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) antara sebab yang diberikan oleh para peminjam yang sukar membayar pinjaman mereka.

Fitrah Adiba Anis Adzlan, seorang pekerja logistik, berasa “ralat” membayar pinjaman kerana gajinya hanya RM1,100 sebulan.
Dia mengakui terbeban dengan komitmen itu, namun menyedari ia perlu dibayar bagi mengelakkan sebarang masalah pada masa akan datang.
“Saya tolakkan juga RM154 tapi kadang-kadang duit itu tidak cukup, sampai kadang-kadang saya terpaksa pindahkan semua duit gaji saya masuk dalam bank lain sebab saya tidak mahu PTPTN menolak gaji saya,” katanya.

Siti Malissa Esa pula merasakan selama ini dia hanya membayar bunga pinjamannya. Ketika ini semua peminjam dikenakan kadar bunga 1% daripada jumlah keseluruhan pinjaman.
“Bila saya periksa balik penyata, pinjaman asal dengan setakat yang saya dah bayar itu tidak banyak beza. Jadi saya agak selama ini memang saya bayar bunga sahaja yang banyak,” katanya.
Pengurus syarikat jalur lebar ini berkata langkah terbaik yang boleh dibuat kerajaan dan PTPTN ialah mengurangkan kadar bunga pinjaman ketika ini.

Melissa Ann Martin dan Kelvin Chew pula merasakan PTPTN perlu lebih “mesra pengguna” kerana perkhidmatan sedia ada tidak membantu peminjam merancang kewangan.
Melissa berkata PTPTN tidak memberi sebarang pemberitahuan mengenai tunggakan yang belum dibayar.
“Sekarang saya membayar RM300 sebulan kerana saya mahu melangsaikan PTPTN secepat mungkin, kerana bulan depan saya akan mula membuat pembayaran rumah,” kata Melissa.
Kelvin pula berkata PTPTN akan dapat membantu peminjam jika akses kepada maklumat pinjaman ditingkatkan dan dipermudahkan.
“Semua butiran perlu ada termasuk pinjaman berapa lama, baki pinjaman dan sejarah pembayaran,” katanya pula.
Isu peminjam PTPTN gagal membayar pinjaman masih belum dapat diselesaikan hingga ke hari ini. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilapor berkata jumlah tunggakan hutang PTPTN mencecah RM39 bilion, iaitu hampir sama dengan kerugian yang dialami 1MDB.
Mohd Hafizuddin Sanip, yang bertugas di sebuah stesen penyiaran, menggunakan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melangsaikan hutang pinjamannya.
“Pada mulanya saya buat potongan secara berkala tetapi atas sebab-sebab tertentu saya membuat potongan secara habis melalui pemotongan KWSP,” katanya.
Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan rayanya berjanji untuk memberi penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam bergaji bawah RM4,000 sebulan, dan mengeluarkan nama peminjam daripada senarai hitam imigresen.
Kira-kira 433,000 peminjam dikeluarkan daripada senarai hitam imigresen Jun lalu. Menteri Pendidikan Maszlee Malik pada 31 Mei lalu berkata kementerian memerlukan sedikit masa lagi untuk mencari jalan terbaik melaksanakan penangguhan bayaran balik itu.