Tak boleh terima gelaran Datuk, kata DAP

PETALING JAYA: Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP hari ini mengumumkan wakil rakyat dan ahli majlis tempatan parti itu tidak boleh menerima gelaran kebesaran semasa berkhidmat.

Setiausaha Organisasi DAP Loke Siew Fook berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat CEC Isnin lalu, keputusan yang menegaskan kata sepakat yang dicapai sejak sedekad lalu.

“Oleh itu, CEC ingin menegur pemimpin DAP yang menafikan dan mendakwa tidak tahu tentang pendirian parti sejak sedekad lalu.

“Pemimpin yang cuba memberikan alasan untuk menerima anugerah tanpa memaklumkan atau menunggu arahan daripada kepimpinan parti akan dilihat sebagai tidak menghormati parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, 2 wakil rakyat DAP Melaka iaitu Adun Bandar Hilir Tey Kok Kiew dan Adun Bemban Wong Fort Pin menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran “Datuk” sempena ulangtahun kelahiran ke-80 Yang di-Pertua Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.

Selain itu, 2 menteri DAP Sabah iaitu Stephen Wong dan Frankie Poon juga dianugerahkan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran “Datuk” sempena ulang tahun ke-65 Yang di-Pertua Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Loke berkata pendirian CEC mengenai gelaran kebesaran dimaklumkan kepada kepimpinan DAP Melaka pada Julai lagi.

“CEC memutuskan untuk menyatakan rasa tidak puas hati kerana tidak dirujuk berhubung tawaran anugerah dan gelaran tersebut.

“Pemimpin-pemimpin DAP Sabah yang menerima anugerah dan gelaran juga telah dimaklumkan mengenai pendirian parti,” katanya.

Loke berkata surat makluman akan dikeluarkan kepada semua wakil rakyat dan ahli majlis tempatan bagi mengulangi semula pendirian parti tentang penerimaan anugerah dan gelaran semasa berkhidmat.

“Apa jua tawaran anugerah dan gelaran harus dirujuk kepada kepimpinan pusat DAP,” katanya.