Baitulmaqdis: Kenyataan PM Australia boleh jejas hubungan dengan Indonesia, kata pakar

Scott Morrison berkata, beliau ‘berfikiran terbuka’ mengikuti langkah AS memindahkan kedutaan dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis. (Gambar AFP)

CANBERRA: Langkah Australia mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel boleh merosakkan hubungannya dengan Indonesia, kata seorang pakar.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison pada Selasa mengatakan beliau “berfikiran terbuka” mengikuti langkah Amerika Syarikat memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Ia sekali gus menjadikan Australia negara kedua mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Cadangan itu boleh menjejaskan hubungan Australia dengan jiran terdekatnya, Indonesia, kata ketua Institut Australia Indonesia, Ross Taylor kepada Australia Broadcasting Corporation pada Rabu.

Beliau berkata Presiden Indonesia Joko Widodo akan menghadapi pilihan raya pada 2019 dan bertekad mendapatkan sokongan dalam kalangan masyarakat Islam konservatif pro-Palestin.

Morrison berlepas ke Jakarta untuk bertemu Widodo, beberapa hari selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri pada Ogos dan sejak itu berulang kali menekankan mengenai hubungan Australia dengan Indonesia.