Bom di bawah kerusi bunuh calon pilihan raya Afghanistan

Pihak Taliban Afghanistan mengaku bertanggungjawab ke atas serangan yang menyebabkan kematian Qahraman.

KABUL: Seorang calon pilihan raya Afghanistan terbunuh apabila sebutir bom yang dipasang di bawah kerusi pejabat beliau meletup di wilayah Helmand di selatan negara itu hari ini.

Abdul Jabar Qahraman yang membuat persiapan untuk bertanding dalam pilihan raya Parlimen Sabtu depan, terbunuh dalam letupan itu, kata pegawai kanan kerajaan.

Omar Zwak, jurucakap gabenor Helmand berkata, 7 orang lain turut cedera dalam serangan tersebut.

“Sebutir bom diletakkan di bawah kerusi Qahraman di pejabat kempen beliau. Kami sedang menyiasat kejadian tersebut, kata Omar.

Qahraman merupakan calon kesepuluh yang terbunuh dalam tempoh 2 bulan ini. Dua calon lain diculik dan 4 dicederakan oleh militan Islam garis keras.

Sementara itu, 22 orang terbunuh dalam satu kempen pilihan raya di wilayah Takhar minggu lepas.

Pihak Taliban Afghanistan mengaku bertanggungjawab ke atas serangan yang menyebabkan kematian Qahraman.