LRT3 diteruskan, telan belanja RM16.6 bilion

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk meneruskan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dengan belanja sebanyak RM16.6 billion, merangkumi kos pengambilan balik tanah, faedah semasa pembinaan dan kos-kos lain.

Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) dalam kenyataan hari ini berkata Prasarana Malaysia Bhd memaklumkan penerusan projek infrastruktur itu melalui surat kepada MRCB George Kent Sdn Bhd bertarikh 16 September.

Katanya, pelaksanaan projek itu akan dimodelkan semula daripada Rakan Kongsi Penyampaian Projek (PDP) kepada rejim kontrak harga tetap.

“MRCB akan membuat satu pengumuman kepada Bursa Malaysia Securities jika terdapat sebarang perkembangan yang ketara berkaitan dengan projek tersebut,” katanya lagi.

Pada 2015, pengendali projek LRT3, Prasarana Malaysia, melantik MRCB dan George Kent (Malaysia) Bhd sebagai PDP bagi LRT3, dengan bajet permulaan sebanyak RM9 bilion untuk kerja-kerja pembinaan dan RM1 bilion bagi pengambilalihan tanah.