Geely perbetul khabar angin tentang hubungan keluarga dengan presiden China

 

Media China dan antarabangsa menamakan isteri Li sebagai Peng Lijuan, sekali gus menimbulkan spekulasi beliau bersaudara dengan wanita pertama China, Peng Liyuan. (Gambar Reuters)

BEIJING: Syarikat pembuat kereta China, Geely Automobile Holdings Ltd, yang sejak sekian lama dilanda spekulasi tentang hubungan politiknya, mengambil langkah memperbetulkan kepercayaan bahawa isteri pengerusi syarikat itu mempunyai hubungan kekeluargaan dengan presiden negara itu, Xi Jinping.

Syarikat pembuat kereta itu, yang mempunyai pegangan saham utama dalam syarikat Daimler dari Jerman dan firma pembuat teksi kota London, mendedahkan dalam satu pemfailan bahawa nama isteri pengerusinya Li Shufu ialah Li Wang, yang merupakan pemilik bersama sejumlah 4.9 juta saham dalam syarikat tersebut.

Media China dan antarabangsa menamakan isteri Li sebagai Peng Lijuan, sekali gus menimbulkan spekulasi beliau bersaudara dengan wanita pertama China, Peng Liyuan. Kedua-dua mereka berkongsi nama keluarga dan nama pertama yang hampir sama

“Kami berusaha memperbetulkan khabar angin bahawa isteri Li Shufu merupakan adik ipar Presiden XiJinping,” kata jurucakap Geely kepada Reuters.

Sebagai salah sebuah syarikat pembuat kereta China yang paling cepat berkembang, Geely berbelanja besar dalam beberapa tahun lepas, sewaktu pihak berkuasa China memperketat aliran keluar modal dan urus niaga luar negara yang “tidak masuk akal”.

Sebarang cadangan bahawa kejayaan Geely disebabkan pengaruh politik dianggap sensitif, terutamanya sewaktu Xi mengepalai tindakan pembanterasan rasuah yang turut membabitkan sejumlah pegawai dan tokoh perniagaan berprofil tinggi.