Hilang penglihatan, ubah remaja bermasalah kepada usahawan berjaya

N.Mahendran.

Lelaki bernama N.Mahendran bukanlah cacat penglihatan sejak lahir, tetapi disebabkan oleh 2 insiden yang berlaku dalam masa terdekat sekaligus merampas pandangan dan motivasi untuk meneruskan hidup.

Ternyata ia satu detik sukar bagi lelaki ini, pada usia meniti erti sebenar keremajaan, dia pula perlu menyesuaikan diri dengan kekurangan besar yang berlaku secara tiba-tiba.

Semuanya berakar dari masalah akhlak yang menimpa kebanyakan remaja dari kumpulan keluarga B40 yang lain, masalah disiplin yang menjurus kepada masalah sosial.

Kedudukan ekonomi keluarga yang tidak terjamin dan keadaan sosial yang menjurusnya dalam jenayah sejak di bangku sekolah hinggalah kemalangan yang meragut penglihatan, kini Mahendran menjadi ‘insan contoh’ selepas bangkit dari kejatuhan.

“Kekurangan ini mengajar saya banyak perkara, salah satu daripadanya ialah untuk bangkit dan membangunkan diri sendiri dan orang di sekeliling,” katanya yang berasal dari Kepong.

Selepas beberapa fasa sukar, Mehendran akhirnya mendaftarkan diri di Persatuan Orang Buta di Brickfileds, memulakan hidup baharu dengan belajar mengurut tapak kaki atau dikenali refleksologi.

“Memang sukar untuk seseorang seperti saya belajar dari detik sukar tetapi saya bernasib baik kerana niat untuk bekerja untuk terus ada,” tambahnya yang ditemui dalam satu majlis di Astro, Bukit Jalil.

Mahendran bekerja dengan mengambil upah harian sambil belajar refleksologi dengan harapan membina kemahiran kerja yang menjamin dia pendapatan konsisten.

Selepas belajar, dia sedar kepentingan kesihatan dan mula mengorak langkah yang lebih besar dengan membuka perniagaan skala besar agar rawatan urut tersebut sampai kepada lebih ramai orang.

“Apa yang lebih penting ialah supaya lebih ramai orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan seperti saya diberi peluang menjana pendapatan.

“Saya memulakan kumpulan Whatsapp yang memfokus untuk membantu OKU, membangun perniagaan dan sebagainya.

“Kini saya mempunyai pusat refleksologi sendiri selain beberapa perniagaan lain dan turut membuka ‘booth’ pada musim festival misalnya di Batu Caves pada Thaipusam,” terang lelaki tersebut.

Mahendran adalah salah seorang individu yang mewarnai majlis kempen ‘Saathanai Hero-kkal’ atau ‘Individu Disanjungi’ dianjurkan oleh stesen radio Raaga bersama Digi Telecommunications Sdn Bhd untuk meraikan, mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada tindakan orang perseorangan dalam usaha seharian sekaligus membawa perubahan dalam kehidupan orang lain.

Seramai 7 orang ‘individu disanjungi’ disenarai pendek daripada ratusan cadangan daripada pendengar radio tersebut dan temuramah eksklusif mereka disiar secara berkala sebelum mereka disambut dalam acara ringkas itu.

Menurut Pengurus Kandungan Raaga, Subramanian Veerasamy pihaknya teruja mendedahkan individu-individu yang mendedikasikan hidup untuk membantu masyarakat yang memerlukan tanpa mengira keadaan mereka sendiri.

“Kami berharap dengan memaparkan kisah-kisah seperti ini di ruangg udara (radio) ia dapat menggalak rakyat Malaysia menjadi komuniti sosial yang lebih baik. Kerjasama yang diberikan Digi juga membuka lebih banyak ruang kepada 1.29 juta pendengar kami di pelbagai platform,” jelasnya.

Manakala Ketua Segmen Pengaktifan & Penajaan Digi, Rajeeswaran Vengadasalam berkata pihaknya akan terus mencetus inspirasi kepada semua orang di sekeliling.

“Kami mencari individu yang mencipta inspirasi tanpa sebarang balasan dan mendapati ramai yang berbuat demikian. Ini cara kami mengiktiraf mereka,” katanya.

Dr S. Madhusudhan.

Selain Mahendran, bersama-sama dalam senarai ini ialah ‘Teddy Bear Doctor’, Dr S. Madhusudhan, yang menawarkan rawatan dan keperluan perubatan secara percuma kepada gelandangan dan rumah kebajikan.

Katanya, apa yang diharapkan oleh gelandangan mahupun mereka di rumah kebajikan bukan sekadar ‘khidmat atau barangan percuma’ tetapi kekerapan kita melawat bertanya khabar dan meluangkan masa bersama mereka.

Mengambil kira perkara itu, Madhusudhan sering melawat kanak-kanak terbiar atau di rumah kebajikan dengan membawa patung beruang sehinggalah mendapat gelaran doktor “Teddy Bear”.

Setiap Rabu, beliau dan pasukannya mengatur meja di jalanan untuk merawat gelandangan di Kuala Lumpur selain melawat 3 rumah kebajikan di Klang sebagai rutin.

“Kami bukan organisasi, kami bergerak dalam kumpulan kecil tersendiri. Kami mendapat dana pun dari orang ramai yang prihatin, sedia membantu setiap kami kami muatnaik posting di laman sosial,” ujar beliau.

Master Manisekaran.

Turut diraikan ialah Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Everest, Datuk Sri Andy, yang membantu mangsa taufan Haiyan dengan menyediakan penghantaran barangan secara percuma kepada badan amal yang terpilih; pengasas Persatuan Yoga Malaysia, Master Manisekaran yang menjalankan bengkel dan kelas yoga untuk kanak-kanak kurang bernasib baik dan wanita muda yang hanya berusia 19 tahun, Shalini, seorang aktivis alam sekitar dan ahli Unicef yang membantu mereka yang memerlukan menerusi inisiatif kitar semula di mana beliau mendermakan wang yang dia kumpulkan kepada pesakit kanser.

Tidak ketinggalan, Jacob Isaac juga seorang OKU yang menyumbang sebahagian pendapatannya kepada beberapa sekolah Tamil serta Puspa Rani, seorang aktivis yang tidak berani yang menjalankan NGO, Malaysia Independent Animal Rescue (MIAR) dengan misi untuk menyelamatkan binatang-binatang yang didera.