MT Umno kekal jawatan Zahid, anggap pendakwaan politik

Ahli MT Umno, Ahmad Maslan.

KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk mengekalkan jawatan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden parti itu walaupun sekiranya beliau berhadapan dengan pertuduhan mahkamah berhubung dakwaan penyelewengan dana yayasan milik keluarganya.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata MT parti itu tidak akan mengambil apa-apa tindakan terhadap Zahid bahkan memberikan sokongan padu kepada beliau.

“Keputusan kami ialah tidak akan mengambil apa-apa tindakan terhadap Zahid, malah memberi sokongan padu kepadanya.

“Ini adalah pendakwaan politik terpilih. Pemimpin mereka (Pakatan Harapan) dibebaskan, pemimpin Umno satu per satu diheret ke mahkamah,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam, Naib Presiden Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata parti bersedia membuat satu mesyuarat bagi membincangkan jawatan Zahid sebagai presiden parti itu sama ada perlu direhatkan sementara atau tidak.

Terdahulu, bekas timbalan perdana menteri itu diberikan notis serah diri untuk hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini.

Beliau diberikan notis berkenaan sekitar jam 1.45 tengah hari semalam dan diminta untuk hadir ke SPRM pada jam 3 petang ini.

Jumaat lepas, Zahid memberi keterangan kepada SPRM berhubung dakwaan penyelewengan dana sebuah yayasan milik keluarganya.