Najib disoal siasat SPRM lagi

Toyota Alphard putih yang membawa Najib Razak keluar melalui pintu belakang bangunan SPRM tengah hari tadi. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak sekali lagi dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, dipercayai berhubung siasatan kes 1MDB.

Menurut sumber SPRM, bekas perdana menteri itu tiba di ibu pejabat SPRM di sini kira-kira 9 pagi dan keluar lebih 4 jam kemudian.

Kenderaan Toyota Alphard berwarna putih miliknya kelihatan keluar melalui pintu belakang bangunan SPRM pada 1.30 petang tadi.

Najib sudah beberapa kali dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan SPRM.

Najib kini berdepan 32 pertuduhan pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

Pada 4 Julai lalu, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap 3 pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Seterusnya pada 8 Ogos lalu, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 3 pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd menerusi 2 akaun miliknya, 4 tahun lalu.

Pada 20 September lalu, Najib sekali lagi didakwa atas 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan 4 pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM.