Dakwaan Deepak ‘rekaan semata-mata’, kata Najib

Najib berkata, dakwaan Deepak tidak logik dan merupakan cubaan memfitnah yang akan dicabar habis-habisan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor mengarahkan peguam mereka mencabar 2 saman sivil difailkan ahli perniagaan, Deepak Jaikishan yang mendakwa pasangan itu menyebabkan beliau kehilangan tanah bernilai jutaan ringgit dan memaksanya mengambil pinjaman sebanyak RM200 juta.

“Dakwaan Deepak terhadap kami dalam samannya adalah rekaan semata-mata, dibuat-buat dan tidak berasas,” kata bekas perdana menteri itu kepada FMT hari ini.

“Dakwaannya terhadap kami tidak logik dan tidak lebih daripada cubaan untuk memfitnah melalui pemfailan saman sivil ini,” katanya dengan menambah bahawa saman itu akan dicabar habis-habisan.

Selain Najib dan Rosmah, Deepak juga menyaman Boustead Holdings Sdn Bhd dan Bakti Wira Sdn Bhd dengan menuduh 2 syarikat itu campur tangan dalam urus niaga sebuah hartanah di Selangor dengan mendakwa syarikat miliknya Astacanggih Sdn Bhd mengalami kerugian besar kerananya.

Deepak meminta mahkamah memberi kepadanya kos kerugian sebanyak RM656 juta atau mengembalikan 2 keping tanah seluas 223 ekar di Kapar kepada beliau.

Dalam satu saman lain, Deepak dan adiknya Rajesh menyaman Najib, Rosmah dan 3 yang lain sebanyak RM52.6 juta dengan mendakwa mereka berdua dipaksa membuat pinjaman berjumlah RM198.8 juta daripada Bank Rakyat.

Tiga defendan lain ialah adik Najib, Datuk Ahmad Johari Razak; bekas pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim dan pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Shukry Mohd Salleh.

“Saya dan adik saya bertindak sebagai ‘proksi’ Najib dan Rosmah bagi pinjaman yang dibuat pada 2008 dan mereka berdua sepatutnya membayar pinjaman tersebut bagi pihak kami,” kata Deepak dalam samannya.

Nama Deepak menjadi terkenal apabila beliau dikaitkan dengan mendiang P Balasubramaniam, seorang penyiasat bebas yang diupah oleh Abdul Razak Baginda, bekas pembantu Najib yang didakwa dan kemudiannya dibebaskan pada 2006 dalam kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.