Gagal masuk, ahli Umno protes duduk depan mahkamah

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dan pemimpin Umno lain memutuskan untuk tidak masuk ke kawasan mahkamah selepas tidak semua ahlinya dibenarkan masuk. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Ratusan panyokong Umno mengadakan protes duduk selepas dilarang masuk ke kawasan Mahkamah Jalan Duta sebagai tanda solidariti berikutan pendakwaan ke atas presiden parti itu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

Langkah itu dibuat selepas polis membenarkan hanya 50 ahli parti itu memasuki pekarangan mahkamah lalu menimbulkan rasa tidak puas hati ahli yang lain.

Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa dan pemimpin Umno lain yang berada di situ memutuskan untuk tidak masuk ke kawasan mahkamah sekiranya tidak semua ahli dibenarkan masuk.

“Kalau hanya 50 orang dibenar masuk, kita duduk sini tidak payah masuk,” katanya.

Terdahulu timbul kekecohan apabila kumpulan yang diketuai ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam yang tidak dibenarkan masuk gagal berunding dengan pasukan polis yang berkawal ketat di depan pagar mahkamah.

Lokman yang merayu supaya penyokong Umno dibenarkan masuk berjanji tidak membuat sebarang kekecohan.

“Kita harap dibenarkan masuk seperti sebelum ini. Mahkamah milik orang awam. Ini pertama kali kita tidak dibenarkan masuk.

“Lagi ditekan, lagi kita lawan. Kita nak masuk secara aman, kita lawan. Kalau kita tidak dibenarkan masuk, kita duduk di depan mahkamah ini,” kata Lokman.

Zahid tiba di mahkamah Jalan Duta, kira-kira jam 8.20 pagi menaiki Toyota Alphard dengan kawalan ketat pegawai polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau yang berbaju batik merah kelihatan tenang disambut dengan laungan ‘hidup Umno’ dan ‘undur Mahathir’ daripada kalangan penyokong yang hadir.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden, Datuk Seri Khaled Nordin dan datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Ketua Pemuda, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Wanita Datuk Norani Ahmad.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dijangka berdepan pertuduhan melibatkan kesalahan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah.